KUALA LUMPUR 10 Mei – Wanita UMNO Wilayah Persekutuan mahu kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak menjadi punca pertelagahan sesama ahli parti, sebaliknya sebagai kebangkitan terutama bagi melindungi kepentingan kaum Melayu.
![]() |
|
ZURAINAH
|
Ketuanya, Zurainah Musa berkata, ahli-ahli parti perlu redha dan tenang hasil keputusan PRU-14 walaupun perit untuk diterima.
Katanya, jentera parti telah bertungkus-lumus tanpa mengira masa demi mendapatkan keputusan terbaik namun menerima kehendak rakyat yang mahukan perubahan.
“Jangan bersengketa sesama kita, tak perlu menuding jari untuk mencari salah sesiapa.
“Kepada parti Pakatan Harapan yang telah menerima mandat rakyat, tunaikanlah janji-janji yang ditaburkan terhadap rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mahu semua ahli parti kembali merapatkan kedudukan sebagai satu pasukan terutama bagi memastikan kepentingan kaum Melayu dibela dan terjamin.
“Perjuangan belum selesai dan jangan berputus-asa, kerana ada golongan yang masih memerlukan khidmat kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE











