IPOH – Pakatan Harapan yang memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Perak semalam dilihat masih belum bersedia untuk mengadakan sebarang pengisytiharan bagi membentuk kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai pembentukan kerajaan negeri sebaliknya menyerahkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Ahmad Faizal Azumu untuk membuat sebarang keputusan.
Menurut pakar dalam aspek perlembagaan itu, beliau enggan mengulas mengenai perkara tersebut berikutan ia merupakan satu isu politik.
“Sebagai seorang ahli perlembagaan, pengetahuan saya juga mempunyai had. Saya tidak tahu dan bukan ahli politik. Sebarang pertanyaan, sila tanya Pengerusi Pakatan Harapan Perak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini .
Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta oleh pemberita untuk menjawab persoalan sama ada perlembagaan di Perak memerlukan sesebuah parti memenangi 30 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Pada PRU-14 di Perak semalam, Pakatan Harapan memperoleh kemenangan 29 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional 27 kerusi dan Pas tiga kerusi. – K! ONLINE








