KUALA LUMPUR 10 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau dan pasukannya telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat sepanjang mentadbir negara ini.
Najib berkata, sejak beliau ambil alih kepemimpinan negara pada tahun 2009, kerajaan sedaya-upaya meningkatkan kualiti hidup rakyat bagi menentukan masa depan lebih baik dan generasi akan datang.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas sekali menunjukkan bahawa berkemungkinan apa yang telah ditawarkan BN kurang memberi tarikan kepada rakyat berbanding apa yang dijanjikan pihak lawan.
“Saya sedar ada juga yang tidak sempurna dalam kita mentadbir negara, tetapi keutamaan saya untuk sentiasa menentukan keselamatan dan kemakmuran rakyat.
“Saya dan rakan-rakan dalam parti menerima keputusan yang dibuat rakyat dan parti BN adalah komited dan menghormati prinsip demokrasi berparlimen,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











