RATU terjun negara, Pandelela Rinong melahirkan harapan agar kerajaan yang diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terus membantu Sarawak untuk menyambung tradisi mereka menghasilkan bakat-bakat baharu bagi sukan terjun negara di pentas dunia.
Atlet berusia 23 tahun itu yang pulang ke Kuching kelmarin untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia tiba di pusat mengundi Perpustakaan Taman Samarindah pada pukul 8.15 pagi sambil ditemani bapanya.
Pemegang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu turut berharap Sarawak mampu melantik jurulatih terjun dari luar negara yang mempunyai reputasi tinggi dan berpengalaman untuk membentuk atlet berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, Pandelela menggesa agar fasiliti sukan terjun di negeri Bumi Kenyalang itu dapat ditambah baik bertaraf lima bintang setanding luar negara.
“Saya berharap sukan terjun akan terus mendapat sokongan padu rakyat Sarawak serta diminati oleh belia di negeri ini terutama bakat-bakat pada peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, legenda hoki tanah air, Datuk Mirnawan Nawawi berharap agar pihak kerajaan yang diberi mandat pada PRU-14 dapat terus menitikberatkan pembangunan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pada peringkat akar umbi.
“Sebagai penggiat sukan, sudah pasti saya mengharapkan pembangunan sukan dapat diperhebatkan secara menyeluruh agar ia lebih cemerlang berbanding sebelum ini.
“Usaha membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dipertingkatkan kerana saya percaya lahirnya seorang atlet berkelas dunia bermula dari rumah,” ujar Mirnawan yang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Parlimen Kota Melaka.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berharap kerajaan sedia menghulurkan bantuan kepada badan induk persatuan tersebut dalam misi memperkasakan bola sepak tempatan.
Hamidin yang mengundi di kawasan Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik, tidak terlepas mengambil kesempatan memuji rakyat Malaysia mengamalkan keharmonian tinggi sepanjang PRU-14 berlangsung.
Justeru, bekas Naib Presiden FAM itu berharap kerajaan akan datang bersedia untuk memberikan bantuan kepada bola sepak negara kerana usaha kerajaan turut menjadi elemen penting dalam memastikan sukan tersebut berada di landasan sebenar.
“Saya mahu mengambil kesempatan untuk memuji rakyat Malaysia yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini (semalam) dan saya juga kagum kerana sebahagian besar telah menunjukkan kesatuan serta keharmonian sepanjang PRU-14 berlangsung.
“Sebagai wakil FAM, sudah pasti saya mengharapkan bantuan daripada kerajaan kerana bantuan itu cukup penting bagi melaksanakan salah satu transformasi bola sepak negara.
“Saya percaya kerajaan tidak akan terlepas pandang isu bola sepak negara dan usaha sama antara FAM bersama kerajaan boleh diibaratkan seperti ‘aur dengan tebing’,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, jurulatih Felda United, B. Sathianathan turut senada dengan Hamidin yang menyifatkan kerajaan turut memainkan peranan penting buat bola sepak negara pada era moden ini.
Sathianathan yang mengundi di kawasan Parlimen Kota Raja dan DUN Sungai Kandis mendedahkan, sumbangan kerajaan selama ini sentiasa menjadi salah satu elemen penting buat bola sepak negara.
“Sokongan kerajaan kepada sukan tempatan amat penting kerana ia adalah salah satu cabang daripada pendidikan.
“Jadi, marilah kita bersama-sama mendoakan pemimpin yang dipilih pada kali ini akan terus memacu kemajuan dan keamanan negara termasuk dalam bidang sukan,” ujarnya.










