FAS tunggu laporan Nazliazmi - Utusan Malaysia

FAS tunggu laporan Nazliazmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIMBALAN Presiden Per­­satuan Bola Sepak Sela­ngor (FAS), Datuk Abdul Rauf Ahmad akui skuad Gergasi Merah sudah mempu­nyai pe­rancangan untuk mendapatkan pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua bulan ini, namun masih menunggu persetujuan daripada presiden dan jurulatih pasukan.

FAS enggan terburu-buru membuat sebarang keputusan untuk mendapatkan pemain baharu berikutan pemilihan tepat sangat diperlukan bagi membawa pasukan terus bersaing dalam baki saingan yang masih panjang untuk musim ini.

Abdul Rauf memberitahu, FAS masih menunggu laporan lengkap daripada jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir untuk melihat keperluannya supaya dapat membawa pasukan berada di kedudukan yang lebih baik dalam liga musim ini.

“Jurulatih perlu menilai secara terperinci untuk mendapatkan pemain baharu berikutan keputusan yang dibuat akan memberikan kesan yang besar buat pasukan.

“Nazliazmi harus menilai semula kebolehan pemain sedia ada yang perlu dikekal atau digugurkan.

“Kita tahu dia memerlukan perubahan dalam pasukan ke­rana pemain import sedia ada adalah atas keputusan bekas jurulatih terdahulu, P. Maniam dan bukannya atas kemahuan Nazliazmi.

“Justeru, dia harus diberikan sedikit masa untuk menilai prestasi semua pemain yang ada dalam pasukan supaya keputusan yang dibuatnya memberikan kesan yang positif kepada skuad Gergasi Merah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, FAS turut menunggu persetujuan presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal dalam menentukan sebarang keputusan yang melibatkan perbelanjaan dalam pasukan.

“Kami enggan terburu-buru dalam menentukan hala tuju pasukan kerana tempoh masa untuk perpindahan pemain masih panjang.

“Jurulatih dan pihak pengurusan akan menggunakan masa ini dengan sebaik mungkin supaya keputusan yang melibatkan kewangan pasukan dapat dibuat dengan baik.

“Pasukan kini masih sibuk dengan persiapan untuk ber­de­pan Johor Darul Ta’zim (JDT) hujung minggu ini, justeru kami enggan mengganggu fokus me­reka dan keputusan ini bakal diketahui dalam tempoh dua minggu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×