SEREMBAN 10 Mei – Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan apabila memperoleh 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
BN yang menang 22 kerusi DUN pada PRU-13, hilang enam daripadanya iaitu Pilah, Ampangan, Klawang, Labu, Lenggeng dan Paroi.
Enam belas kerusi yang dimenanginya ialah Serting, Jeram Padang, Palong, Pertang, Sungai Lui, Juasseh, Senaling dan Seri Menanti. BN turut menang di Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.
Keputusan itu menyaksikan gabungan pembangkang PKR membentuk kerajaan buat kali pertama di negeri ini selepas memperoleh 20 kerusi.
DAP dijangka menjadi parti paling berpengaruh dalam kerajaan negeri kelak apabila memenangi semua 11 kerusi ditandinginya, berbanding PKR lima dan PAN empat. Sebuah lagi parti, PPBM gagal mendapat sebarang kerusi.
Bagi kerusi Parlimen pula, BN menang tiga daripada lapan kerusi iaitu Rembau, Jempol dan Jelebu. Bagaimanapun, dua kerusi iaitu Kuala Pilah dan Tampin yang sebelum ini milik BN dirampas PKR.
Kedua-dua kerusi ditandingi pemimpin berpengalaman, Datuk Seri Hasan Malek yang tewas dengan majoriti 200 undi di Kuala Pilah, manakala Datuk Seri Shaziman Abu Mansor kecundang dengan 1,002 di Tampin.
Gabungan pembangkang PKR terus mengekalkan pengaruh di Parlimen Seremban, Rasah dan Port Dickson apabila menang dengan majoriti lebih besar.
Pengerusi gabungan pembangkang negeri, Aminuddin Harun ketika mengumumkan kemenangan itu malam tadi berkata, parti tersebut akan memohon perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE










