MARANG 9 Mei – Barisan kepemimpinan tertinggi Pas Pusat bertumpu di pekarangan Masjid Rusila dekat sini malam ini dan seterusnya akan mengadakan sidang akhbar khas mengenai perkembangan terkini keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 ((PRU-14).
Selain Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan turut serta ialah Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; barisan kepemimpinan Pas Pusat serta Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Samsuri Mokhtar yang dikatakan bakal menjadi menteri besar jika Pas kembali berkuasa.
Dr. Samsuri yang juga calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang akan mengadakan sidang akhbar lebih awal yang dijangka diadakan selepas solat Isyak di pejabat Pas di Masjid Rusila.
Difahamkan sidang akhbar itu diadakan bertujuan memaklumkan perkembangan terkini keputusan awal PRU dengan keyakinan parti berkenaan mendahului dalam jumlah undi.
Selepas itu, sidang akhbar kemungkinan akan diadakan dari semasa ke semasa bagi mengemas kini keputusan pilihan raya umum kali ini. – UTUSAN ONLINE











