TAMPIN – Seorang pengundi muda di sini tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) walaupun kecederaan yang dialaminya akibat kemalangan jalan raya belum pulih sepenuhnya.
Pelajar Politeknik Merlimau, Melaka, Danish Aizuddin Mohd. Katan, 22, yang berkerusi roda tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun dekat sini kira-kira pukul 3 petang ini.
Dia yang dibantu oleh ibunya, Roslina Zainal Abidin, 55, selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak lama selepas tiba di sekolah tersebut.
Pelajar jurusan Diploma Elektrik itu berkata, dia tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang rakyat Malaysia.
“Ini kali pertama saya mengundi. Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, tetapi ini tanggungjawab kepada negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Danish Aizuddin memberitahu, dia mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan raya dengan sebuah kereta di Serkam, Melaka pada Januari lalu.
Dia yang menunggang motosikal patah tulang kaki dan terpaksa menangguhkan sementara pengajiannya dalam semester empat. – K! ONLINE










