KUALA LUMPUR 23 Ogos – Meminati penyanyi rap terkenal Malaysia, Joe Flizzow sejak sekian lama, pemuda yang berasal dari Geylang, Singapura iaitu Fariz Jabba, 22, tidak menjangka dia akan dilamar oleh bekas anggota kumpulan Too Phat itu.
Menceritakan detik permulaannya bergelar penyanyi, Fariz atau nama sebenarnya Fariz Rashid memuat naik sebuah klip video di laman sosialnya sementelah mengetahui Joe sedang mencari bakat baharu untuk diketengahkan.
“Tidak beberapa lama selepas klip video itu dimuat naik, saya berjaya menarik perhatian Joe apabila dia meninggalkan komen.
“Dari situlah bermulanya detik perkenalan antara kami berdua sehinggalah pada Mac lalu, saya dipertemukan dengannya,” cerita Fariz ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini.
Menurut Fariz, selepas pertemuan dengan Joe, maka bermulalah karier nyanyiannya termasuk penghasilan debut berjudul Ape Sia yang mula dilancarkan pada Jumaat lalu.
Dihasilkan komposer bernama Shorya, manakala lirik ditulis sendiri oleh Fariz, Ape Sia secara sinikal menggambarkan kehidupan anak muda kini yang disampai dalam bentuk humor.
“Lagu ini diilhamkan bersama-sama abang saya ketika kami sering keluar melepak pada waktu malam.
“Disebabkan kami membesar dalam sebuah keluarga yang ‘gila-gila’ yang dipenuhi gelak tawa, jadi tercetus idea untuk menghasilkan sebuah lagu berkonsepkan ceria sebegini,” katanya menjelaskan serba sedikit mengenai karya yang dihasilkan dalam dwibahasa itu.
Fariz yang kini bernaung di bawah label M03 Records, anak syarikat Kartel Records baru-baru ini turut diberi peluang untuk terbabit dalam sebuah program yang dikelolakan Joe iaitu konsert 16 Baris. – UTUSAN ONLINE











