Irfan Haziq pemain dram cilik - Utusan Malaysia

Irfan Haziq pemain dram cilik

MUHAMMAD Irfan Haziq (depan) ditemani Mohd. Shahrizan Jaafar bermain dram di rumah mereka di Taman Pinggiran Tanjung, Mantin, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seawal usia lima tahun, Muhammad Irfan Haziq Mohd. Shahrizan, 9, kini antara pemain dram cilik di negeri ini malah mampu menguasai kemahiran bermain alat muzik tersebut dengan baik.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu berkata, dia mula meminati bermain dram selepas sering mengikut bapanya, Mohd. Shahrizan Jaafar, 38, ke studio untuk berlatih muzik dan menyertai aktiviti keseniaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bagaimanapun, dia lebih tertarik bermain dram berbanding bapanya yang bermain gitar bes kerana bunyi yang dihasilkan daripada peralatan muzik berkenaan mengujakannya.

“Lagu pertama yang saya mainkan bertajuk Aku Yang Tersakiti nyanyian Judika. Selepas itu saya mula cuba bermain lebih banyak lagu dan antara kegemaran semasa latihan di rumah ialah Sambutlah Kasih dendangan Lovehunters dan Sejati dendangan Wings.

“Ramai yang terkejut apabila saya pandai bermain dram tanpa membaca not malah mewakili sekolah dan Negeri Sembilan tahun ini sebagai pemain dram cilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pinggiran Tanjung, Mantin, dekat sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Shahrizan berkata, dia tidak menyangka anaknya itu mampu menguasai kemahiran bermain dram seawal usia lima tahun dan hanya mengambil masa sekurang-kurangnya sehari bagi mempelajari lagu pertamanya.

Dia yang bekerja sebagai Pembantu Operasi USIM memberitahu, Muhammad Irfan Haziq menunjukkan minat bermain dram sejak usia empat tahun dan ‘cuba-cuba’ bermain alat muzik itu ketika menjalani latihan muzik.

“Daripada cara dia bermain dram dan mengikut rentak lagu tanpa mempelajari not muzik, saya sudah tahu anak saya ada bakat tersembunyi dalam muzik. Jadi, saya cuba memperdengar sebuah lagu untuk dia mainkan dan dia berjaya mengikut rentak lagu berkenaan.

“Kini sejak dua tahun lalu, kami sudah memiliki kumpulan muzik yang digelar 1 Family Busker dengan isteri saya sebagai penyanyi, saya pemain gitar bes dan anak saya itu sebagai pemain dram,” katanya.

Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia sekeluarga ada dijemput bermain muzik di sebuah kedai makan di sekitar kawasan Nilai.

“Kini pergerakan agak terhad namun bagi mencungkil bakat anak dalam bidang muzik, saya menghantarnya menyertai kelas muzik khusus bagi membaca not muzik sejak Oktober lalu.

“Saya lihat minatnya lebih kepada muzik, biarlah dia tahu bermain dengan membaca not muzik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×