KUALA LUMPUR 26 Nov. – Dakwaan pemimpin UMNO bahawa wujudnya gerakan serius mahu menjatuhkan kepemimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disangkal sekeras-kerasnya Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
Sambil menyifatkan tohmahan berniat jahat itu sebagai tidak berasas, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Negeri Perak yakin 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan di negeri itu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Ahmad Faizal.
Jelas beliau, tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyebarkan ‘fitnah’ itu sebagai tindakan terdesak dan tidak melambangkan budaya politik negara.
“Fokus kami bukan untuk melayan tohmahan yang jelas mempunyai nawaitu jahat dan merupakan sebahagian taktik kotor untuk cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat. 31 ADUN Pakatan harapan memberi sokongan penuh kepada Ahmad Faizal.
“Sebaliknya, fokus kami ketika ini adalah untuk membentangkan belanjawan untuk negeri Perak, esok. Kami mahu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan membela kebajikan tanpa mengira kaum serta agama,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Semalam, UMNO Perak mendakwa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa orang exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di DUN. Malah, Saarani mendakwa rancangan tersebut hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima ADUN Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul tidak percaya tersebut. – UTUSAN ONLINE











