KOTA BHARU 25 Nov. – Hampir 40 peratus daripada lebih 60,000 banduan di penjara seluruh negara mengalami masalah mental di mana majoritinya disebabkan kesan pengambilan dadah sintetik.

Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan berkata, jumlah tinggi itu berikutan populasi dalam penjara sendiri yang dihuni 60 peratus banduan akibat kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk menempatkan pakar psikiatri berkhidmat dalam penjara dan kini sedang membuat permohonan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan untuk tujuan itu.
“Pada masa ini, banduan yang disahkan mengalami masalah mental akan menjalani rawatan sama ada di hospital ataupun pegawai psikiatri hospital yang akan turun ke penjara sekali atau dua kali sebulan.
“Banduan ini mungkin tidak bertindak agresif tetapi daya pemikiran mereka semakin berkurangan atau berubah daripada individu yang normal, kebanyakan mereka mengalami halusinasi dan psikosis,” katanya selepas merasmikan Fiesta Infokraf Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Timur 2018 di Pusat Beli Belah Aeon Mall di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan (Seksyen Vokasional dan Industri), Zainah Pardi; Pengarah Penjara Kelantan, Hamzani Che Ibrahim dan Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Mohamad Rosidek Musa.
Alzafry Mohamed Alnassif berkata, banduan yang mengalami masalah mental sama ada dari penyakit keturunan ataupun akibat dadah bukan sahaja berisiko kepada banduan lain dan pegawai penjara bahkan diri mereka sendiri jika tidak mendapat rawatan.
Sementara itu, program Fiesta Infokraf anjuran Pusat Pemulihan Akhlak Machang yang diadakan bermula 20 November lalu itu bertujuan memperkenalkan produk bermutu dari penjara termasuk produk besi, rotan, fabrik dan makanan. – UTUSAN ONLINE











