LANGKAWI 25 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan terutama membabitkan sektor pelancongan.
Sehubungan dengan itu, kata Perdana Menteri itu, pihaknya mengalu-alukan kerjasama syarikat swasta dalam membangunkan sektor pelancongan di negara ini termasuk di Langkawi.
Beliau yakin pihak berkenaan terutama yang berkecimpung dalam industri perhotelan mempunyai idea kreatif dan kepakaran tersendiri untuk diketengahkan dalam menyumbang ekonomi negara.
“Kerajaan tidak ada kepakaran dalam perniagaan perhotelan dan kita memerlukan sektor swasta menjalankan perniagaan ini yang melaluinya, kita dapat mengutip cukai yang seterusnya boleh disumbangkan kepada pembangunan negara.
“Sektor swasta tujuan mereka menjana keuntungan dan mereka sangat cekap mengurus kewangan berbeza dengan kerajaan yang hanya mahir dalam bidang dasar dan undang-undang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dash Resorts Langkawi di Pantai Tengah dekat sini, hari ini.
Hadir sama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Katanya, kejayaan Kumpulan Ri-Yaz mengubah tapak bekas pusat latihan guru di Pantai Tengah di sini, menjadi hotel bertaraf empat bintang itu adalah contoh terbaik.
“Kerajaan mengalu-alukan usaha syarikat swasta seperti ini menukar bangunan lama yang dibiarkan kosong kepada sesuatu yang boleh memberi sumber wang,” katanya.
Sementara itu dalam lawatan ke Langkawi selama tiga hari bermula Jumaat lepas Dr. Mahathir turut meluangkan masa melawat kedai roti premium yang diasasnya, The Loaf di Telaga Habour di sini yang sebelum ini ditutup sementara. – UTUSAN ONLINE











