KUALA LUMPUR 25 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi amaran kepada peniaga-peniaga yang membuka gerai secara haram di sekitar tapak Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini.

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, memasuki hari keempat hari ini, ratusan peniaga haram telah dikesan pihaknya dan lokasi popular mereka menjalankan aktiviti itu adalah di kawasan parkir kenderaan.
Beliau berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia jelas mengganggu periuk nasi para peniaga yang telah memohon lesen untuk berniaga di sini.
“Kita telah mengadakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk mengambil tindakan ke atas peniaga haram yang berkeliaran terlalu banyak.
“Selain parkir, mereka juga didapati menyalah guna ruang-ruang kosong yang disediakan pihak penganjur untuk pengunjung berehat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media MAHA 2018 di MAEPS dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











