KUALA LUMPUR 25 Nov. – UMNO menerima keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Bagaimanapun, parti berteraskan orang Melayu itu mempersoalkan adakah triti berkenaan akan diratifikasi pada masa hadapan kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan komitmen kepada pelaksanaannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), September lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara tegas menyifatkan ICERD sebagai Malayan Union 2.0 dan parti itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana usaha menggugat orang Melayu dan bumiputera.

“Sekiranya kerajaan hari ini menolak untuk meratifikasi ICERD selepas menilai perasaan orang Melayu dan bumiputera. Ini bukan bererti mereka tidak akan buat pada masa hadapan.
“Kita tidak mahu mereka umum tolak ratifikasi hari ini tetapi di masa hadapan mereka secara diam-diam meratifikasi kerana janji dan komitmen telah dibuat di peringkat antarabangsa termasuk di UNGA dan UPR (Semakan Berkala Sejagat) Geneva pada 8 November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Forum Kongres Tolak ICERD, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau telah dibaca oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. – UTUSAN ONLINE











