KUALA LUMPUR 25 Nov. – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman hari ini berkenan merasmikan Pusat Sehenti Kucing Selangor (SCC) sempena hari keempat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018.
Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan isteri, Datin Fatimah Taha.
Tengku Permaisuri Selangor juga berkenan untuk melawat Dewan A Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini yang menempatkan ratusan booth pameran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Medic Pets Sdn. Bhd., Siti Sofiah Ramli ketika berucap dalam majlis perasmian itu berkata, SCC yang terletak di Setia Alam, Selangor bukanlah tempat lambakan kucing terbiar tetapi ia merupakan sebuah pusat sehenti untuk penggemar kucing, pemilik, panel doktor dan sukarelawan berkumpul.
“SCC yang akan mula beroperasi pada bulan depan diharap dan menyediakan khidmat nasihat dan bantuan penjagaan kucing kepada semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE











