KUALA TERENGGANU 25 Nov. – Isu remeh-temeh seperti terlupa membeli ikan dengan sikap leka suami di samping keberatan membawa isteri berjalan-jalan ekoran faktor kewangan turut menjadi punca konflik sehingga berlakunya penceraian dalam kalangan pasangan Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sehubungan itu kerajaan negeri serius dalam usaha mengurangkan masalah berkenaan kerana menjejaskan kesejahteraan institusi keluarga.
Katanya, antara Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,219 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan berbanding 1,383 pasangan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi bukan Islam pula, katanya, statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan terdapat 17 kes perceraian didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu dengan 16 daripadanya membabitkan orang Cina manakala baki, orang India.
“Saya akan minta agensi kerajaan menilai punca-punca itu dan kalau boleh kita hendak mendekati sesiapa yang ada masalah untuk diberi kaunseling termasuk akan membuat susulan sampai ke rumah melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS),” katanya kepada pemberita di luar Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyatakan butiran mengenai perceraian di negeri ini demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan yang dikemukakan oleh wakil pembangkang, Roslee Daud (BN-Bukit Besi).
Mohd. Nor memberitahu, kerajaan negeri melalui pelbagai jabatan dan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan giat menggerakkan pelbagai langkah antaranya, forum, seminar dan kursus.
Di samping itu katanya, tahap keberkesanan program-program yang digerakkan sebelum ini dinilai semula, sekali gus akan memperbaharui modul-modul berkaitan jika perlu.
Punca perceraian terlalu banyak, ada yang disebabkan punca besar misalnya daripada kejahilan tentang tujuan sebenar perkahwinan dan ada juga yang kecil termasuk perbalahan mengenai beli ikan selayang.
“Di samping perasaan amarah, cepat gopoh dan pelbagai punca lain yang kadang-kadang datang daripada pihak keluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE











