REMBAU – Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Dr. S. Streram yakin dapat mengatasi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan jika beliau dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Beliau yang tidak berpeluang bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu percaya dirinya mempunyai kelebihan di DUN Rantau walaupun mungkin dianggap sebagai calon ‘underdog’ oleh sebilangan pihak.
“Saya fikir (peluang saya) 60 peratus dan 40 peratus untuk dia (Mohamad). Lagipun saya sudah ‘lawan’ dia (Mohamad) semasa PRU-14.
“Masa itu dia ada kuasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, maka saya rasa tidak susah lawan dia sebagai Timbalan Presiden UMNO,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Streram tidak berpeluang mewakili PKR sebagai calon DUN Rantau pada PRU-14 selepas dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Berikutan itu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau menyebabkan Streram memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei 2018.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan tanpa bertanding itu batal dan tidak sah serta mengarahkan satu PRK diadakan serta merta di kerusi itu.
Streram yang merupakan pakar bius mendakwa, hasil maklum balas di DUN Rantau menunjukkan beliau mendapat sokongan daripada masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.
Kata beliau, pengundi Melayu di beberapa kawasan seperti Kuala Sawah, Nyatoh dan pekan Saga memberi undi besar kepada calon PKR bagi kerusi Parlimen Rembau dalam PRU-14.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan tidak mendapat sokongan PKR Cabang Rembau untuk dicalonkan kerana bukan anak tempatan.
Ketua PKR cabang tersebut, R. Tanggam baru-baru ini mendakwa ahli cabang itu tidak mahu calon luar dipilih dan menyifatkan Streram yang berasal dari Johor sebagai calon ‘payung terjun. – K! ONLINE











