CYBERJAYA – Kerajaan negeri Selangor menolak dakwaan rancangan untuk menawarkan air percuma sebanyak 25 meter padu hanya kepada kumpulan B40 berbanding kepada semua penduduk di negeri itu ketika ini dibuat susulan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan pengambilalihan tersebut langsung tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan dari negeri tersebut sebaliknya ianya diambil alih oleh Air Selangor, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri melalui pinjaman yang dibuat daripada kerajaan Persekutuan.
“Jadi (program pemberian air percuma) itu tak mempunyai kaitan dengan kesan pengambilalihan SPLASH sebagaimana anggapan beberapa pihak,” katanya kepada media selepas Majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir (amp) Miskin Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 di sini hari ini.
Pada Ogos lalu, Air Selangor telah mengumumkan pengambilalihan SPLASH dengan nilai RM2.55 bilion yang mengakhiri episod penstrukturan air Selangor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Namun bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam berkata, keputusan kerajaan Selangor dalam pemberian air percuma hanya kepada golongan B40 tidak mengejutkan malah sudah dijangkakannya terutama selepas kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 bilion kepada SPLASH. – Bernama











