NILAI – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bakal dimasyhurkan secara rasmi sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Selasa ini.
Pemasyhuran beliau akan disempurnakan oleh Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan media berkata, pemasyhuran itu diadakan sempena Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen ke-16 USIM pada 27 November ini.
“Majlis Konvokesyen USIM tahun ini akan berlangsung sebanyak lima sidang selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.
“Seramai 2,712 graduan akan menerima ijazah mereka dalam bidang masing-masing iaitu di peringkat Sarjana Muda, Diploma Ijazah, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD) masing-masing,” kata kenyataan itu hari ini.
Bekas Ketua Hakim Negara itu bakal dilantik sebagai Pro-Canselor USIM bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Julai lalu hingga 14 Julai 2021.
Pelantikan Zaki sebagai Pro-Canselor dibuat oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. – K! ONLINE











