VSS: Selamat berpisah sahabat - Utusan Malaysia

VSS: Selamat berpisah sahabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA hari lagi pada 30 November ini, hampir 800 sahabat handai akan secara rasmi meninggalkan syarikat ini. Pemergian mereka walaupun menerusi skim pemisahan sukarela atau VSS, sebenarnya lebih dalam keterpaksaan dan berat hati.

Namun, semua yang pergi dan juga kekal sama-sama memahami bahawa keadaan yang memaksa. Ia bukan kemahuan mereka, bukan kerelaan diri. Inilah tahap tertinggi pengorbanan seseorang sanggup lakukan untuk tujuan yang lebih besar.
Mereka melangkah pergi, demi memastikan kelangsungan hidup syarikat yang telah melahirkan akhbar pertama pada 1939 di Singapura, terus kekal sebagai wadah berita kepada masyarakat dan negara.

 

Pengorbanan rakan-rakan itu adalah sebahagian daripada penyusunan semula syarikat yang merangkumi pengubahsuaian saiz akhbar daripada broadsheet kepada saiz tabloid dan beberapa lagi faktor.
Secara peribadi saya cuba bertemu seberapa ramai yang boleh sahabat-handai yang terbabit, terutama daripada jabatan-jabatan lain yang dulunya, hanya bersua semasa acara sukan antara jabatan atau majlis-majlis dalaman, serta rakan-rakan sekariah yang memenuhi saf sehingga ke baris keempat.
Begitu juga di kafetaria yang menjadi lokasi perjumpaan tidak rasmi, bertembung bertukar senyuman, jika tidak berhenti bersalaman.
Atau di kawasan letak kereta selepas pukul 9 malam, bertegur sapa bercerita sekilas sebelum masuk ke dalam kereta. Banyak kali juga, perbualan kemudiannya menelan masa yang lebih panjang hingga menjadi kehairanan rakan lain yang baru pulang.
Ramai yang sudah bersama syarikat ini melebihi 10-20 tahun. Pastinya begitu banyak pengalaman dan kenangan terhimpun selama itu. Paling menyayat hati ialah jabatan dan unit yang bersangkut-paut dengan Jabatan Pengarang kerana waktu kerja yang ‘terbalik’ daripada kebiasaan.
Mereka bukan sekadar rakan sepejabat, tetapi komrad atau rakan seperjuangan. Pulang tengah malam itu adalah kelaziman, bertugas pada hari raya mesti dirasai, kenduri saudara-mara sulit didatangi kerana bekerja pada Sabtu dan Ahad.
Ada juga yang sudah di sini lebih 30 tahun, seperti abang Razali yang bekerja sebagai pemandu dan sepatutnya bersara wajib tiga tahun lagi. Pada awal saya menyertai akhbar ini pada 1994, saya kerap menaiki kenderaan syarikat yang dipandu abang Razali untuk ke lokasi kejadian kemalangan atau jenayah.
“Jagalah syarikat ini, kerana Utusan bukan sekadar akhbar tetapi institusi orang Melayu,’’ kata abang Razali dalam nada sebak dengan mata berair.

Reaksi
Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi, sekadar mengucapkan ‘Insyallah, kami akan cuba sedaya upaya’. Begitu tulus pesanan abang Razali itu sehingga sayu perasaan. Dan berat, malah saya berusaha keras agar air mata tidak turut sama mengalir.
Orang lama Utusan seperti abang Razali memahami cabaran yang menanti bagi kami yang kekal di dalam syarikat.
Beliau sudah menyaksikan sejarah syarikat dari berstatus biasa kepada syarikat tersenarai, pembinaan kilang serba moden di Sri Bangi. Ini sekali gus menamatkan operasi percetakan di ibu pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin selain perubahan pucuk pimpinan dari satu ketua pengarang kepada yang lain, mengikut rejim pentadbiran negara selama ini.
Orang lama Utusan seperti abang Razali juga mengerti betapa sulitnya perniagaan akhbar bercetak di dalam era digital ini, di mana orang lebih gemar membaca percuma menerusi gajet eletronik masing-masing, selain faktor-faktor lain seperti politik negara.
Pelbagai suara sudah kedengaran meminta agar Utusan dileraikan daripada cengkaman parti politik agar ia dapat kembali kepada asal penubuhannya dahulu. Entahlah.
Orang lama Utusan seperti abang Razali juga berpesan agar tidak menghiraukan cercaan dan kutukan di luar sana, yang melemparkan pelbagai label terhadap Utusan. Tumpukan kepada mereka yang sentiasa menyokong Utusan kerana di waktu sebegini rumit, merekalah sahabat sebenar kita.
“Keikhlasan, kejujuran mesti sentiasa di hati anda semua agar dapat bekerja memulihkan Utusan, tetapi roh Abata jangan sekali-sekali dimatikan,’’ katanya.
Ada yang sudah bercuti sejak minggu lalu, ada yang akan menamatkan kerjaya pada malam 30 November ini. Malam ini kita berpisah, rasa hati resah gelisah. Namun masa akan mengubat luka. Insyallah.
Kepada sahabat-handai sekalian yang bakal meninggalkan Utusan, didoakan anda semua sentiasa dalam lindungan Tuhan, berjaya dalam kerjaya baharu dan sokongan anda selepas ini, adalah sangat-sangat penting untuk kami meneruskan wadah suara keramat Melayu ini.
Akhir kalam, inilah bait lirik Dalam Kenangan karya Syed Haron Ahmad, khas untuk sahabat-handai:
Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda,
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan,
Teman seiring jalan kini jauh dariku,
Kemesraan kita tetap dalam kenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×