LONDON 24 Nov. – Mohamed Salah dijangka meninggalkan Liverpool dalam tempoh satu atau dua musim lagi jika gagal mendapatkan sebarang gelaran, kata jurulatih Mesir, Javier Aguirre.
Penyerang berusia 26 tahun itu menjadi tonggak skuad Reds di Merseyside selepas mempamerkan prestasi menakjubkan pada musim lalu, menyaksikan dia menyumbat 32 gol dalam 36 perlawanan, selain membawa pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu ke pentas akhir Liga Juara-Juara.
Penyerang kebangsaan Mesir itu turut meledak dua gol untuk negaranya dalam aksi sulung di Piala Dunia selepas 28 tahun di Rusia tahun ini.
Bagaimanapun, Salah masih gagal membawa pulang sebarang trofi kejuaraan setelah berhijrah dari Roma, manakala Liverpool juga tidak memenangi gelaran besar sejak kali terakhir menggondol Piala Liga 2011-12 di bawah bimbingan Kenny Dalglish.
Aguirre percaya jika Klopp tidak dapat mengubah nasib Liverpool, Salah akan meinggalkan Anfield dengan baik bagi mencari gelaran bersama kelab lain.
“Salah akan meinggalkan Liverpool dalam satu atau dua musim lagi jika dia gagal memenangi sebarang trofi.
“Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tahu tentang perkara tersebut, sebab itulah dia sedang bekerja keras untuk memenangi trofi,” kata Aguirre.
Sekalipun dia telah memenangi pelbagai anugerah individu sepanjang kariernya, termasuk Pemain Terbaik Tahunan FWA (Persatuan Penulis Bola Sepak) dan Pemain Terbaik Tahunan PFA (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional), Anugerah Puskas, namun koleksi di kabinet pasukan Salah agak bersawang.– AGENSI











