Nama kawan baik saya itu, Haziq. Umurnya awal 30-an, kini tinggal di Kuala Lipis, Pahang. Haziq mempunyai nenek saudara yang dipanggilnya sebagai Nek Uda yang telah menjadi bidan kampung sejak berpuluh tahun lalu.
Tapi kerana usianya yang mencecah 80-an, suatu hari kira-kira lima tahun lalu, Nek Uda sakit tenat. Anak, cucu, saudara mara dan jiran-jiran datang menziarahi. Anehnya Nek Uda tidak juga menghembuskan nafas terakhirnya.
Malam, orang yang berziarah semakin ramai kerana Nek Uda seolah-olah akan pergi pada bila-bila masa saja. Namun tiba-tiba dalam saat yang genting itu, kedengaran jeritan dari kalangan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di luar rumah. Yang menjerit itu adalah anak cicit Nek Uda yang berusia tujuh tahun.
“Ada orang tua hitam kat atas bumbung!” budak perempuan itu menjerit ketakutan. Dia menangis sambil menuding jari ke arah bumbung rumah lama yang didiami oleh Nek Uda dan suaminya.
Kata budak itu lagi, lembaga hitam berkenaan sedang duduk dan melompat-lompat. Bentuk badan dan rambutnya yang mengerbang, persis Nek Uda. Tempat lembaga itu bertenggek juga setentang dengan tempat Nek Uda terlantar di ruang tamu.
Ramai yang tidak percaya. Alah, budak kecil, entah ya entah tidak. Mungkin perasaan saja. Mungkin musang, kucing atau burung besar. Kalau makhluk itu ada, kenapa mereka tidak nampak?
Namun apabila mereka masuk semula ke dalam rumah, seorang lagi cicit Nek Uda menjerit memberitahu dia nampak ada orang tua berambut mengerbang sedang bertenggek di atas bumbung rumah. Bentuk badannya macam Nek Uda.
Suasana serta-merta menjadi kecoh. Yang sedang membaca Yasin dan al-Quran terhenti bacaannya. Masing-masing kalut, mereka berlari ke halaman untuk melihat lembaga berkenaan. Macam tadi, hanya cicit Nek Uda saja yang dapat melihatnya.
Dalam kekecohan itu, seorang menantu Nek Uda berterus-terang mengesyaki lembaga di atas bumbung itu adalah `belaan’ Nek Uda. Apa lagi, suasana yang sudah sedia kecoh, menjadi bertambah kecoh. Ramai yang marah. Kata mereka, jangan tuduh sembarangan, Nek Uda orang baik. Terjadilah pertelingkahan.
Bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk, mereka memanggil seorang ustaz untuk membantu. Setelah melihat keadaan Nek Uda, ustaz itu juga setuju, memang orang tua itu ada memelihara `sesuatu’ dan sedang bertenggek di atas bumbung rumah.
“Kalau kamu tak percaya, bawakan saya tiga biji telur mentah,” kata ustaz.
Lantas keluarga Nek Uda bawakan telur yang diminta. Ustaz tersebut letakkan telur-telur berkenaan di dalam piring, dan tempatkannya di atas kepala Nek Uda.
“Esok pagi kamu pecahkan telur ni dan tengok apa yang terjadi,” kata ustaz sebelum melangkah pulang.
Nek Uda masih hidup sampai sekarang. Namun yang menyeramkan, sekitar pukul tiga pagi Nek Uda akan mengetuk pintu rumah anak-anaknya yang tinggal berdekatan. Apabila pintu dibuka, mereka lihat Nek Uda berdiri di depan pintu dalam keadaan yang menakutkan. Rambutnya mengerbang, berkaki ayam dan memakai baju kurung lusuh.
“Kasi mak air. Mak haus… mak nak air,” itulah yang akan diucapkan oleh Nek Uda setiap kali muncul di depan rumah anak-anaknya pada waktu dinihari.
Anak-anak Nek Uda bawa ibu mereka itu masuk dan memberikannya segelas air. Selepas minum,Nek Uda akan tidur.Dia akan bangun kira-kira setengah jam sebelum azan Subuh berkumandang dan berjalan pulang ke rumahnya.
Esoknya Nek Uda akan muncul lagi di depan pintu rumah anak-anaknya. Itulah yang berlaku sampai sekarang dan usia Nek Uda sudah pun lanjut.
Selesai Haziq bercerita, saya tiba-tiba terfikir, adakah yang mereka semua lihat itu adalah Nek Uda? Dia sudah nyanyuk.
Atau sebenarnya Nek Uda sudahpun mati pada malam lembaga hitam muncul di bumbung rumah dan makhluk misteri memakan isi tiga biji telur yang diletakkan di hujung kepalanya?
Saya harap andaian saya itu silap… kerana sesungguhnya syaitan takkan berhenti daripada berusaha menyesatkan kita. (Faris Akmal Ali, Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Senibina Malaysia, Bandar Hilir, Melaka.)
Cerita Haziq kepada saya lagi: Pukul 3 pagi itu seorang cucu perempuan Nek Uda bangun untuk ke bilik air. Sewaktu keluar dari bilik tidurnya yang bersebelahan tempat Nek Uda terlantar di ruang tamu, dia terdengar bunyi orang menghirup dan menjilat sesuatu.
“Syyruuuppp…. syrruuupp…” perlahan, tapi menakutkan.Seolah-olah yang dihirup itu rasanya begitu lazat sekali.
Pada mulanya anak perempuan Nek Uda itu berhenti untuk melihat dari mana datangnya bunyi tersebut, tetapi dek kerana gelap, dia teruskan langkah ke bilik air. Ketika masuk ke bilik tidurnya semula, bunyi pelik itu sudah tiada.
Seperti yang diminta ustaz, pagi itu keluarga Nek Uda mengambil tiga biji telur yang malam tadi diletakkan di atas kepala orang tua itu. Alangkah terkejutnya mereka, apabila diangkat, telur itu terasa ringan.
Dan apabila dipecahkan didapati ketiga-tiga biji telur ayam berkenaan telah pun kosong!Kering, isinya sudah tiada. Setitik pun tidak bersisa, sedangkan langsung tidak ada kesan telur itu sudah retak atau pecah.
Nek Uda ada pelihara `sesuatu?’ Masing-masing saling berpandangan. Sehari dua kemudian Nek Uda sihat semula!
Cerita Haziq bersambung lagi; Ditakdirkan beberapa bulan kemudian seorang cucu Nek Uda bersalin. Apa yang membuat mereka semua terkejut ialah Nek Uda begitu beriya-iya hendak mencuci tembuni si bayi.
Seboleh-boleh dia mahukan tembuni itu. Walaupun suami cucunya mahu membersihkan sendiri tembuni berkenaan, tapi Nek Uda tetap berkeras. Kesungguhan Nek Uda sangat luar biasa, suaranya keras hingga cucunya terpaksa mengalah.
Sebaik mendapat tembuni itu, wajah Nek Uda serta-merta berubah menjadi gembira. Pada anak mata dan senyumannya tergambar keseronokan yang tidak terhingga.
Nek Uda segera membawa tembuni itu ke dalam bilik air dan terus menguncinya. Lama Nek Uda di dalam bilik air dan apabila dia keluar, tembuni itu sudah pun `bersih.’
Pada muka Nek Uda terpancar rasa puas yang amat sangat. Senyumnya lebar, matanya bersinar, tubuhnya nampak bertambah segar dan bertenaga.
Apa yang sebenarnya dilakukan oleh Nek Uda? Haziq sukar hendak menjawabnya. Dia tidak mahu menuduh, tetapi setahunya, orang yang memelihara hantu raya amat suka memakan darah dan lendir yang terdapat pada tembuni bayi.
TELUR
kunci
merayau











