LONDON 24 Nov. – Anak patung yang pernah menjadi barang permainan pemerintah Britain, Ratu Elizabeth disasarkan mampu meraih harga jualan sebanyak 800 pound (RM4,304) hingga 1,200 pound (RM6,456).
Mirror melaporkan, anak patung tersebut dilengkapi dengan kot berwarna biru firus, berambut kerinting berwarna perang dan bermata biru.
Menurut pakar barangan dan fesyen antik, Kerry Taylor, anak patung tersebut merupakan barang permainan Ratu Elizabeth ketika pemerintah Britain itu berusia 10 tahun.
Taylor juga memaklumkan bahawa anak patung tersebut amat disayangi oleh Ratu Elizabeth ketika itu.
“Seperti yang anda boleh lihat, terdapat kesan gosokan pada hidung anak patung tersebut yang menunjukkan permainan ini sering digunakan oleh pemiliknya,” katanya.
Permainan itu merupakan anak patung diraja pertama yang akan dilelong dalam satu acara pada bulan depan di sini.
Selain itu, beberapa barangan lain milik Ratu Elizabeth dan Puteri Margaret juga akan dilelong termasuk sepasang gaun bercorak bunga serta gaun sutera yang pernah dipakai oleh Puteri Diana.











