Rakyat tunggu pembelaan? - Utusan Malaysia

Rakyat tunggu pembelaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS enam bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) rakyat terus memerhati dan menunggu pembelaan yang akan mereka terima kelak.

Menurut Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar, ia termasuk menagih janji-janji PH yang ditawarkan dalam manifesto pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Malah, katanya, ada perkara-perkara yang masih diperkatakan dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini memerlukan komitmen kerajaan agar ia dapat ditambah baik.

“Antara cabaran PH adalah dalam mengenal pasti nasib dan kedudukan para pesawah, nelayan, penoreh getah dan peneroka Felda dalam menerima bantuan-bantuan tertentu.

“Misalnya, bantuan ketika musim tengkujuh yang sepatutnya mereka terima di mana ia telah mendapat teguran banyak pihak dan harus dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr. Chandra mengulas mengenai isu itu yang merupakan antara cabaran yang harus digalas oleh PH selepas enam bulan pasca PRU-14 pada Sidang Meja – Media Bulat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) bertajuk The State of the Malaysian Economy Under The PH Goverment itu dipengerusikan Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hassan Mad.

Ujar beliau, isu gaji minimum yang kini berada pada paras RM1,100 sebulan di seluruh negara masih belum memadai dengan kos sara hidup dan harga barang yang tidak menentu parasnya ketika ini.

“Bagi saya, jumlah itu tidak cukup kerana dalam keadaan sekarang gaji minimum yang perlu ditawarkan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan kerana ia mampu untuk dilaksanakan.

“Begitu juga dengan peruntukan untuk bajet kesihatan yang disediakan iaitu sebanyak 2.5 peratus tidak memadai kerana sepatutnya ia naik kepada lima peratus sesuai dengan kos pada hari ini.

“Selain itu, adakah skim insurans yang mahu dilaksanakan itu sesuai terutama bagi para penduduk yang tinggal di luar bandar ekoran kurangnya kemudahan untuk urusan tersebut?” soalnya.

Beliau yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (Just) turut mengetengahkan soal skim Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang perlu diberi perhatian.

Ini kerana, hanya terdapat 10 peratus taska yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala selebihnya tidak berdaftar dengan kementerian itu.

Sementara dalam isu TVET pula, beliau menambah, kerajaan perlu memberi tumpuan daripada segi bajet serta cabang-cabang kepakaran yang perlu disediakan sesuai dengan pembangunan negara.

“Setiap tahun tidak kurang 60,000 pelajar yang memohon dalam TVET tetapi bajet yang disediakan tidak mencukupi sedangkan ia adalah asas kemajuan di negara maju seperti Jerman dan Jepun.

“Setakat ini tiada maklumat terperinci tentang sesuatu kemahiran spesifik yang boleh ditawarkan bagi menyediakan tenaga-tenaga mahir dalam pelbagai bidang teknologi,” ujarnya.

Kesan

Dr. Chandra turut menyentuh mengenai cabaran politik tempatan dan antarabangsa terutama membabitkan persaingan ekonomi dan pengaruh politik antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, jika berlaku konflik yang semakin meruncing antara dua kuasa besar dunia itu, ia juga akan memberi kesan kepada ekonomi serta lanskap politik di negara ini untuk jangka masa panjang.

Tokoh yang berlatarbelakang pendidikan Sains Politik ini tidak menafikan peningkatan penguasaan ekonomi China akhir-akhir ini banyak mempengaruhi situasi dan konflik perdagangan ketika ini.

“Kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa sejak dasar ‘buka pintu’ China, kira-kira 700 juta rakyatnya berjaya keluar daripada kancah kemiskinan dan ini mempengaruhi ‘kuasa beli’ mereka.

“Malah, kita juga lupa China sejak abad ke-18 lagi telah menguasai 23 peratus ekonomi dunia tetapi kita seolah-olah tidak mempercayainya kerana lebih berpaksikan kepada negara-negara Barat.

“Semua ini akan memberi kesan terutama konflik dan ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan apatah lagi blok perdagangan AS dan Barat dilihat semakin merosot sejak kebelakangan ini,” katanya.

Pada sesi dialog yang turut disertai Dr. Rais Saniman selaku ahli Panel Pemikir MPM, Dr. Chandra tidak ketinggalan menyentuh sepintas lalu cabaran semasa politik tempatan.

Antara isu pendirian kerajaan PH dalam isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mendapat bantahan orang Melayu.

Tegasnya, isu ICERD tidak perlu ditimbulkan kerana segala yang dibangkitkan itu telah jelas termaktub dalam Perlembagaan, malah ia tidak sesuai dengan acuan masyarakat negara ini.

“Contohnya, AS yang membuat ratifikasi terakhir pada tahun 1992 tetapi hubungan antara kaum di negara mereka masih lagi teruk. Bagi saya, idea ICERD di negara ini dilihat sebagai tidak matang.

“Apatah lagi, kita mengambil acuan ICERD itu yang datangnya dari Barat sedangkan perkara-perkara sebegini tidak sepatutnya dicetuskan kerana ia secara tidak langsung menafikan fakta sejarah.

“Hakikatnya, orang Melayu sudah lama bertapak di sini di mana sejarah kewujudan Kesultanan Kedah antara yang tertua di dunia iaitu sejak tahun 1136 lagi membuktikan fakta tersebut,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau kesal apabila ada pihak-pihak tertentu yang menggunakan isu ICERD sebagai modal politik mereka meskipun jelas ia semakin mendapat bantahan daripada orang-orang Melayu.

“Mereka mahu mencapai matlamat tanpa mengambil kira situasi dan sensitiviti dalam negara. Mereka ini sama ada tidak faham atau sengaja tidak mahu faham fakta dan sejarah,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×