Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD - Utusan Malaysia

Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan mengesahkan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi kontrak sosial di negara ini.

“Di dalam perlembagaan termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” katanya di sini hari ini.

Pada 18 November lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad berkata, pelaksanaan ICERD akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan hampir mustahil untuk dilakukan.

Perdana Menteri menegaskan, majo­riti dua pertiga ahli Parlimen diperlukan untuk me­laksanakan perkara itu.

Jelasnya, ia hampir mustahil berikutan komposisi semasa ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan reaksi yang ditunjukkan berhubung perkara itu daripada pihak pembangkang serta anggota kerajaan.

Mahathir bercakap kepada media Malaysia di akhir Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-26 di sini.

Dilaporkan sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan bantahan berhubung ICERD, manakala parti pembangkang merancang untuk menganjurkan perhimpunan bersama bulan depan bagi menentang cadangan meratifikasi konvensyen itu.

Mahathir mengambil mak­lum bahawa ICERD adalah sensitif kepada kaum Melayu di Malaysia dan kerajaan tidak menolak pandangan yang di­­suarakan rakyat tentang perkara itu.

Sebelum itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, orang Melayu ber­agama Islam akan ‘mengamuk’ untuk membantah ikrar kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi ICERD. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×