KUALA LUMPUR 23 Nov. – Dua minggu lepas, hari Jumaat, segmen yang disiarkan secara langsung di media sosial Facebook Utusan Online, Busking Bersama Buskers bersiaran di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Hari ini, Busking Bersama Buskers kembali di tempat asal iaitu di Panggung Utusan, Jalan Chan Sow Lin, di sini bersama kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Akarya Tradisi.
Akarya Tradisi dibarisi oleh pemuzik-pemuzik yang terdiri daripada kakitangan Pusat Kebudayaan, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang bergabung dengan para pelajar UPSI dan ditubuhkan kira-kira lima tahun lepas.
Anggota di dalam Akarya Tradisi tidak tetap kerana ia melibatkan para pelajar.
Istimewanya Akarya Tradisi ini ialah mereka mengalunkan lagu-lagu berentak irama tradisional dan kontemporari.
Sejajar dengan matlamat Pusat Kebudayaan UPSI yang mahu memartabatkan irama Melayu dalam kalangan generasi muda, Akarya Tradisi akan menghiburkan para penonton Busking Bersama Buskers pada petang ini. – UTUSAN ONLINE











