BARU-BARU ini, penulis berkesempatan melawat Pulau Langkawi. Sejak menetap di Kedah selama 22 tahun, sudah acap kali penulis melawat Pulau Langkawi. Kali ini tidak sebagaimana sebelum ini, penulis berpeluang menimba pengalaman melalui pemandu teksi dan Grab. Setelah wujudnya e-hailing, persaingan antara industri teksi dan industri e-hailing cukup sengit. Pemandu-pemandu teksi berasakan pendapatan mereka mula terjejas.
Sememangnya sebelum wujudnya e-hailing, terdapat rungutan dalam kalangan pengguna teksi ekoran sikap segelintir pemandu yang tidak menyenangkan mereka. Misalnya, mengenakan caj mahal tidak mengikut meter di Lembah Klang. Kewujudan e-hailing memberikan alternatif kepada penumpang yang adalah pengguna pengangkutan awam. Mereka ini akan memilih perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik. Pastinya, isu harga menjadi asas pemilihan mereka untuk menyewa kenderaan. Kewujudan e-hailing memberi kebaikan buat pengguna, namun mungkin tidak buat pemandu teksi.
Berbalik kepada pemandu Grab di Langkawi, penulis berkesempatan bertanyakan pemandu yang membawa penulis dan rakan-rakan ke Jeti Langkawi untuk menaiki feri pulang ke destinasi masing-masing. Pemandu Grab tersebut juga sebenarnya pemandu teksi. Apabila ramai pengguna inginkan teksi, maka dia akan cuba memenuhi permintaan pengguna. Jika sebaliknya, maka dia akan memenuhi permintaan pengguna ke atas Grab. Dengan kata lain, dia akan mengambil peluang sebaik mungkin untuk mencari rezeki pada setiap hari tidak kiralah sebagai pemandu teksi mahupun pemandu Grab.
Penulis cukup kagum kerana pemandu Grab itu ialah seorang wanita yang bekerja kuat untuk mencari rezeki. Kecekalan mendapatkan rezeki menggunakan peluang yang ada adalah satu perkara yang wajar difikirkan oleh kita semua. Rata-rata ramai yang berusaha sedaya upaya mencari rezeki sebanyak mungkin. Ada yang mencari rezeki tidak kira masa. Ada yang mencari rezeki berasaskan musim.
Misalnya, petani dan nelayan. Kedua-duanya mencari rezeki membanting tulang empat kerat untuk kehidupan mendatang. Pengalaman penulis mencandat sotong di Terengganu sudah cukup menggambarkan betapa bukan mudah untuk menjadi seorang nelayan. Terpaksa meredah laut. Rezeki pula tidak menentu. Terpaksa pula berada di lautan beberapa hari sebelum pulang kembali untuk menjual hasil tangkapan. Mereka ini tidak bekerja di pejabat yang berhawa dingin. Namun, kerja harus dijalankan. Jika tidak bagaimana untuk memberi makan kepada keluarga.
Dalam hal ini, kita boleh lihat ada yang bekerja dengan memperoleh gaji lumayan dan hasil perniagaan yang banyak sehingga kaya raya. Alhamdulillah, rezeki mereka melimpah ruah. Ada juga yang bekerja dari dahulu hingga sekarang berada pada takuk yang sama. Mereka ini sudah berusaha bersungguh-sungguh, namun itulah rezeki yang diperoleh yang tetap disyukuri. Bersyukur atas nikmat yang diperoleh kurnia-Nya di bumi bertuah ini.
Mereka ini menyumbang kepada masyarakat seperti nelayan yang menangkap hasil laut untuk dimakan oleh kita semua. Tanpa mereka, mungkin sahaja kita sukar menikmati hasil laut yang segar dan berkhasiat untuk menjana tenaga pada setiap hari. Justeru, golongan sebegini perlu dibantu menggunakan pendekatan ekonomi yang lebih ampuh dalam jangka masa panjang untuk memastikan kelangsungan kehidupan mereka sekeluarga.
DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).











