KUALA LUMPUR 22 Nov. – Inflasi Malaysia telah meningkat kepada 0.5 peratus pada Oktober daripada 0.3 peratus (September) berikutan pelarasan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
RAM Rating Services Bhd. menjangkakan purata inflasi keseluruhan sebanyak satu peratus pada 2018 daripada 3.7 peratus pada tahun lepas di dalam keadaan inflasi makanan yang rendah.
Menurut agensi penarafan tersebut, unjuran itu turut didorong tekanan deflasi susulan pengembalian semula subsidi bahan api sepanjang 2018.
“Inflasi dijangka meningkat kepada 2.7 peratus pada 2019, sebahagian besarnya didorong oleh tekanan tambahan daripada peralihan subsidi bahan api bersasar.
“Antara pemacu lain termasuk kesan daripada pengenalan semula SST dan impak asas yang rendah dalam tempoh cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Meskipun butiran penting pelaksanaan seperti tarikh dan mekanisme pembayaran masih kabur, tetapi analisis awal RAM Rating mendapati keputusan mengapungkan harga RON95 berdasarkan mekanisme harga automatik akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.9 mata peratusan pada 2019.
RAM Rating menganggarkan mekanisme baharu subsidi bahan api bersasar akan bermula pada April tahun depan dan harga minyak global berada pada sekitar paras yang sama pada 2019 iaitu AS$75 (RM313.32) setong.
“Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan penanda aras kadar faedah pada 3.25 peratus sepanjang 2019 sebagai keperluan untuk mengimbangi antara tekanan aliran keluar modal dan sokongan pertumbuhan.
“Inflasi secara keseluruhan dijangka bergerak pantas tahun depan dengan mengambil kira risiko terhadap pertumbuhan daripada penyatuan fiskal yang berterusan, turun naik pasaran modal dan peningkatan ketegangan perdagangan,” katanya.











