KUALA TERENGGANU 22 Nov. – Rumah pusaka berusia 77 tahun yang `masih bertahan’ di Kampung Tanjung di sini sejak lebih setahun lalu disebabkan keengganan pemiliknya berganjak dengan arahan kerajaan agar kediaman itu dirobohkan, akhirnya ‘menyembah bumi’ juga pagi semalam.
Kediaman tradisional Melayu dua tingkat diperbuat daripada kayu itu yang terletak di tengah-tengah tapak projek pembangunan mega berskala besar, dirobohkan dalam satu operasi tidak sampai sejam bermula kira-kira pukul 10 pagi.
Dua buah jentolak digunakan bagi kerja-kerja merobohkan rumah tersebut, dipercayai dikendalikan beberapa anggota penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Terengganu.
Difahamkan, sebelum ini pemilik rumah berkenaan telah diberi notis tiga hari supaya segera mengosongkan tapak kediaman dan jika gagal, tindakan tegas akan diambil.
Status tanah dan rumah milik peninggalan keluarga Wan Yusof Wan Abdul Kadir sebelum ini menjadi kontroversi dan polemik kerana keengganan mereka tunduk kepada arahan kerajaan supaya kediaman itu dirobohkan.
Anak Wan Yusof, Wan Mokhtar, 66, bersama tujuh beradik lain bertegas mereka tidak akan berganjak kecuali diberi pampasan RM20 juta sebagaimana dituntut, bukannya ditawar pampasan RM20,000 oleh kerajaan yang disifatkan tidak masuk akal.
Permasalahan timbul apabila pihak PTG mengesahkan tiada rekod pemilikan tanah berkenaan disimpan sedangkan Wan Mokhtar mendakwa, bapanya, Wan Yusuf Wan Abdul Kadir telah membeli tanah itu daripada ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 1977, namun geran tanah itu telah hilang.











