Kenapa mereka pula menggelabah? - Utusan Malaysia

Kenapa mereka pula menggelabah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANEH dan pelik, kesepakatan UMNO dan Pas untuk bersama-sama menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) nampaknya meletakkan kelompok tertentu bagaikan ‘cacing kepanasan’.

MCA mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengkhianati semangat Barisan Nasional (BN) kerana cuba mempelawa Pas secara terbuka untuk bergabung dalam gerakan politik, manakala DAP mempersoalkan sama ada UMNO dan Pas akan mengadakan himpunan sebagai tanda protes terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka seolah-olah menentang apa juga kerjasama melibatkan dua parti utama orang Melayu itu, walaupun ia semata-mata demi kepentingan kaum tersebut dan agama Islam.

Persoalannya, apakah UMNO perlu melayan bantahan MCA atau berasa rimas dengan kritikan DAP? Jawapan, tidak payah layan! Biarlah apapun MCA mahu buat. Kalau komponen BN itu berasa cukup kuat dan mahu bertindak keluar BN seperti mana dilakukan oleh parti Gerakan, silakan sahaja.

UMNO tidak perlu lagi melutut atau menyembah sesiapa, begitu juga Pas tidak perlu takut untuk menjalani sebarang hubungan dengan UMNO. Penentangan ke atas ICERD bukan soal mahu memperluaskan atau merebut kuasa politik sesiapa tetapi bagi memastikan tiada mana-mana kelompok cuba mengambil kesempatan dengan beranggapan perpaduan dan kuasa politik orang Melayu semakin lemah.

Siapa MCA yang mahu mengajar UMNO dengan siapa boleh bekerjasama dan dengan siapa tidak boleh? Apakah MCA hebat sangat sehingga boleh berkata apa sahaja kepada UMNO, sedangkan dari segi kerusi di Dewan Rakyat pun, MCA hanya ada satu kerusi berbanding UMNO 48 kerusi.

Begitu juga DAP kenapa mahu menyibuk soal kerjasama UMNO dan Pas? Tidak cukupkah lagi dengan kuasa politik yang dinikmati selepas berjaya menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Kenapa perlu melihat kerjasama UMNO, Pas tersebut dari segi politik? Bukankah dalam Pakatan Harapan sendiri pun ada komponennya menentang ICERD? Bezanya UMNO dan Pas berpakat untuk menyatakan bantahan secara bersama bagi mendesak kerajaan, itu sahaja. Kenapa perlu kelam kabut atau menggelabah tidak tentu pasal?

Adakah kerana ia melibatkan dua komponen parti Melayu terbesar maka sudah ada pihak resah kerana kalau benar-benar parti ini bergabung dalam pilihan raya ia boleh mencetuskan satu gelombang kebangkitan kuasa politik Melayu yang maha hebat.

Tetapi kita ketepikan dulu soal tersebut. Banyak lagi masa untuk bercakap soal politik. Tumpuan perlu diberikan kepada penentangan terhadap usaha meratifikasikan ICERD. Ia bukan isu kecil tetapi melibatkan soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Malah kaum-kaum lain juga akan terjejas kerana istilah ICERD ialah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi – maknanya apa juga yang berkaitan dengan sesuatu kaum harus dihapuskan atau tidak boleh dilaksanakan.

Oleh itu, bukan kata orang Melayu malah kaum-kaum lain juga patut bangkit menentang ICERD kerana mereka juga akan berasa tempiasnya. Mahukah MCA atau DAP melihat sekolah jenis kebangsaan Cina ditiadakan kerana dilihat satu bentuk diskriminasi? Sudah tentu tidak!

Justeru kenapa mahu menentang atau memandang serong kerjasama UMNO dan Pas dalam menentang ICERD. Selama ini sejak merdeka lagi kita hidup aman damai. Walaupun ada isu termasuklah tercetusnya peristiwa hitam 13 Mei 1969, selepas itu rakyat Malaysia kembali bersatu dan bersama-sama membangunkan negara. Tiada kaum dipinggirkan apatah lagi dianiaya seperti mana didakwa oleh pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Orang Melayu terutamanya dalam UMNO mahupun Pas seharusnya tidak terganggu dengan gangguan tidak bertempat MCA dan DAP itu. Kalaulah kaum lain boleh bekerjasama demi kepentingan mereka, tak kanlah orang Melayu tidak boleh mempunyai semangat yang sama?

Penulis tahu ada dalam kalangan penyokong Pas masih berasa janggal berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO. Soalnya, sampai bilakah kita mahu mempunyai perasaan sedemikian? Lihatlah siapakah yang untung apabila orang Melayu terus berpecah belah kerana politik?

Kita menjadi lemah dan apabila lemah, maka ada pihak-pihak tertentu memperkukuhkan kekuatan mereka. Kalau orang Melayu bekerjasama itu dianggap rasis, kalau mereka bekerjasama itu diuar-uarkan usaha menegakkan keadilan.

Sampai bila kita mahu diperbodohkan atau diperangkap dengan hujah dangkal seperti itu. Orang Melayu perlu bangkit bersama untuk menentang apa juga gerakan yang bertujuan melemahkan mereka termasuklah mengganggu gugat apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti ratifikasi ICERD.

Kita tidak boleh selama-lamanya berbalah. Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 10 berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Berdasarkan hujah di atas, pedulikan suara-suara, bisikan atau kenyataan yang dilihat tidak selesa melihat orang Islam bersatu. Kita tahu kenapa mereka bersikap demikian, biarkan sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×