Graduan perlu bukti kemampuan - Utusan Malaysia

Graduan perlu bukti kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan terutamanya graduan bumiputera kembali menarik perhatian khalayak apabila perkara ini dinyatakan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 yang meneliti kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia daripada tahap pendidikan berbeza berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2017.

Menurut laporan itu, belia bumiputera berpendidikan tinggi merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada 2017 meliputi 4.6 peratus berbanding belia Cina 2.9 peratus.

Dalam konteks ini, isu yang sering dibangkitkan oleh majikan atau pihak industri adalah soal kualiti graduan bumiputera. Sekian lama kita dimaklumkan graduan bumiputera lemah dari segi penguasaan bahasa Inggeris, tidak memiliki kemahiran insaniah sebagai nilai tambah, terlalu memilih pekerjaan dan tidak berminat menjadi usahawan sebaliknya masih mahu makan gaji dan bergantung harap kepada bantuan kerajaan.

Ini antara alasan yang sering dikemukakan apabila isu pengangguran dalam kalangan graduan bumiputera diperdebatkan. Jadi penulis berpandangan, inilah masanya untuk graduan bumiputera menyahut cabaran dan membuktikan kemampuan sebenar dengan menafikan segala tohmahan tersebut.

Kalau selama ini graduan bumiputera dikatakan lemah penguasaan dalam bahasa Inggeris, maka ayuh buktikan mereka juga mampu menguasai bahasa ini dengan cemerlang. Mahu tidak mahu, kita tidak boleh menafikan kepentingan bahasa Inggeris, ironinya baik di sektor awam mahupun swasta kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris semakin menjadi keperluan mustahak.

Jadi bagi yang masih di alam kampus gunakan segala peluang yang ada untuk mengikuti kursus bahasa Inggeris dan juga bahasa lain sebagai bekalan tambahan manakala bagi yang sudah graduate kita syorkan korbankan sedikit masa dan wang untuk mengikuti kelas intensif bahasa Inggeris secara sambilan sementara mencari pekerjaan.

Dengan ini graduan bumiputera mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan sebaya mereka daripada kaum lain, sekali gus persaingan merebut peluang pekerjaan itu akan kembali terbuka luas.

Juga kalau selama ini graduan bumiputera dikatakan tiada sebarang nilai tambah seperti kemahiran insaniah sebagai sesuatu yang berbeza daripada orang lain maka wajar sahut cabaran ini untuk mengasah segala bakat dan kemahiran yang ada untuk dijadikan bekalan nilai tambah yang dicari oleh majikan.

Penulis sebagai pentadbir universiti cukup yakin perkara ini sangat mudah untuk graduan bumiputera kerana percayalah majoriti mahasiswa yang aktif berpersatuan, bersukan dan terlibat dalam kegiatan kokurikulum di universiti adalah golongan bumiputera.

Justeru mereka sepatutnya memiliki kemahiran insaniah yang secukupnya seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis. Cuma apa yang diperlukan ialah mereka perlu lebih serius dalam mendalami sesuatu kemahiran itu supaya menjadi bekalan yang sangat berguna bila memasuki pasaran kerja kelak.

Dalam konteks ini graduan bumiputera perlu sedar betapa bilangan graduan pada hari ini terlalu ramai, ini menyebabkan majikan mempunyai pilihan yang banyak. Ingatlah pencapaian akademik semata-mata bukan lagi menjadi pengukur utama kerana rata-rata memperoleh keputusan cemerlang, jadi mereka mencari calon yang mempunyai nilai tambah lain iaitu yang mempunyai kemahiran insaniah yang boleh diaplikasikan dalam kerja seharian.

Satu lagi isu yang menjadi polemik berpanjangan ialah graduan bumiputera dikatakan terlalu memilih pekerjaan. Penulis percaya tidak semua bersikap sebegitu tetapi tidak dinafikan masih ada yang memilih pekerjaan. Diakui seboleh-bolehnya sejurus selepas bergraduat kita mahukan pekerjaan yang tetap dalam bidang pengajian kita atau yang kita idami serta bergaji tinggi atau setimpal dengan kelayakan tahap pendidikan.

Itu adalah suatu situasi ideal dan sempurna yang menjadi impian dan harapan setiap graduan dan juga ibu bapa, namun hakikatnya tidak semua bernasib baik dan dapat apa yang mereka hajati. Jadi janganlah terlalu memilih pekerjaan.

Sebagai permulaan tidak salah untuk menerima apa saja tawaran pekerjaan walaupun bidangnya jauh berbeza serta gaji dan kelayakan juga tidak begitu setimpal dengan kelulusan termasuk yang berstatus kontrak dan sementara. Graduan bumiputera sepatutnya menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman di samping mengasah kemahiran berkaitan.

Sebagai contoh, graduan yang ditawarkan pekerjaan sebagai jurujual di mana-mana syarikat dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditawarkan gaji tetap mengikut SPM serta komisen mengikut kadar jualan yang dicapai. Kita akui gaji ini amat rendah berbanding kelayakan mereka malah tidak mencukupi untuk menampung peningkatan kos sara hidup semasa, tetapi percayalah jawatan ini menjanjikan pengalaman yang cukup berharga.

Misalnya, boleh mendalami kemahiran berkomunikasi kerana komunikasi adalah senjata utama setiap jurujual di samping kemahiran pemikiran kritis iaitu strategi untuk melariskan produk yang dijual. Malah melalui pengalaman jawatan jurujual juga kita boleh menceburi bidang keusahawanan. Jadi kepada graduan bumiputera yang masih memilih pekerjaan sahutlah cabaran ini dan jangan lepaskan peluang yang ada.

Kita juga sering dengar graduan bumiputera tidak berminat untuk menjadi usahawan sebaliknya masih mahu makan gaji. Sebagai pentadbir universiti penulis kurang bersetuju dengan kenyataan ini kerana masih terdapat mahasiswa dan graduan yang berani sahut cabaran untuk menjadi usahawan tetapi tidak dinafikan bilangannya masih kecil.

Jadi tatkala keadaan ekonomi tidak menentu, inilah masanya untuk graduan bumiputera menyahut cabaran dan berani ambil risiko untuk menjadi usahawan dan buang jauh-jauh mentaliti makan gaji. Mulakan secara kecil-kecilan dan percayalah jika kita berani, yakin dan berusaha keras, bidang keusahawanan menjanjikan masa depan yang cukup gemilang.

Jadi kita berharap graduan bumiputera akan sahut cabaran ini dan bangkit buktikan kemampuan. Jangan terlalu cepat menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya segera memperbaiki kelemahan dan buktikan segala tohmahan itu tidak benar sama sekali.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×