KUALA LUMPUR 21 Nov. – Aktiviti pengambilan pekerja dalam talian di Malaysia jatuh kepada lapan peratus pada suku kedua 2018, jauh ketinggalan berbanding prestasi tahun lalu sebanyak 14 peratus.
Indeks Pekerjaan Monster (MEI) suku ketiga menekankan bahawa Malaysia masih belum pulih daripada kedudukan ekonomi, walaupun mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada suku sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com Asia Pasifik dan Asia Barat, Abhijeet Mukherjee berkata, sebanyak 66 peratus rakyat Malaysia tetap yakin negara menuju ke arah yang betul.
Katanya, walau bagaimanapun, pengangguran dan kualiti kerja adalah kebimbangan kedua terbesar (43 peratus) yang dihadapi oleh rakyat Malaysia susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.
Jelas beliau, rasuah kewangan dan politik adalah kebimbangan yang paling kerap disebut rakyat Malaysia pada kadar 60 peratus.
“Tiga pekerjaan yang merekodkan pertumbuhan pengambilan pekerja ‘freelancer’ dalam talian di Malaysia adalah Jualan dan Pembangunan Perniagaan (16 peratus), Pemasaran dan Komunikasi (lapan peratus) dan Perisian, Perkakasan, Telekomunikasi (lima peratus).
“Hospitaliti dan Pelancongan mencatatkan pertumbuhan sebanyak dua peratus manakala Kejuruteraan dan Hartanah melonjak 13 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Laporan Trend Pengambilan Pekerja Dalam Talian suku ketiga Asia Tenggara oleh Monster.com mengkaji trend pengambilan dan pelaksanaan pengambilan pekerja di Malaysia, Singapura dan Filipina.
Bagi edisi Mei kali ini, Monster.com mengkaji dengan lebih dekat ekonomi ‘freelance’ dan permintaan pengambilan dalam talian meliputi seluruh industri di Asia Tenggara.
Mukherjee berkata, perubahan skop kerja susulan kerana inovasi teknologi, kumpulan sumber manusia memainkan peranan untuk menentukan cara bekerja ‘freelancer’, pekerja sambilan dan kakitangan sepenuh masa bagi berkongsi beban kerja mereka.
Dalam pada itu katanya, Pulau Pinang ke arah menjadi hab yang semakin menarik untuk syarikat teknologi di Malaysia.











