KUALA LUMPUR 21 Nov. – Sime Darby Bhd. memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM940 juta bagi tahun kewangan 2019 yang mana sebahagian besarnya difokuskan kepada segmen permotoran, perindustiran dan penjagaan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya turut optimis prestasi kewangan syarikat bagi tahun kewangan semasa akan kekal memuaskan dipacu oleh ketiga-tiga segmen tersebut.
Beliau berkata, selain itu aktiviti daripada sektor perlombongan dan pembinaan di Australia juga dijangka kekal kukuh dengan buku tempahan dan permintaan bagi penghantaran peralatan, bahagian dan perkhidmatan daripada pelanggan utama di semua segmen perniagaan juga tinggi.
“Kami juga menjangkakan momentum bagi bahagian permotoran akan berterusan dengan pelancaran beberapa lagi model baharu yang akan membantu meningkatkan jualan bagi suku kedua tahun kewangan 2019,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jeffri berkata, antara model yang dijangka dilancarkan termasuklah BMW 7 Series, Ford Ranger, Hyundai Tucson dan BMW X5.
Keuntungan bersih Sime Darby susut kepada RM225 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2019 berbanding RM1.32 bilion suku sama tahun sebelumnya.
Perolehan bagi operasi berterusan untuk suku pertama tahun kewangan 2019 adalah RM8.8 bilion, peningkatan 8.6 peratus tahun ke tahun.
Bahagian industri Sime Darby merekodkan PBIT berjumlah RM179 juta bagi suku di bawah semakan berbanding RM247 juta suku sama tahun lalu.
Sementara itu, bahagian permotoran Sime Darby melaporkan PBIT bernilai RM105 juta bagi suku ini berbanding RM112 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2018.
Mengulas mengenai projek kereta nasional ketiga, Jeffri berkata, pihaknya tidak mengemukakan sebarang kertas cadangan berhubung projek berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Kami bukannya syarikat pengeluar sebaliknya hanya merupakan pengedar bagi beberapa model-model terpilih,” katanya.











