KUALA LUMPUR 21 Nov. – Rakyat Malaysia perlu berhenti mengagung-agungkan model negara Barat dalam usaha membentuk ketamadunan dan perpaduan dalam negara ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, banyak negara Barat hanya berselindung di sebalik imej demokratik namun masih tidak mampu menutup masalah perkauman yang berlaku di negara mereka.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu mula mengangkat model perpaduan negara ini yang ternyata lebih unik dan boleh menjadi contoh buat negara-negara lain.
“Kadang-kadang, dunia lebih suka merujuk kepada Barat tentang ketamadunan, tentang kerukunan hidup bersama sedangkan mereka lupa, di Malaysia kita mempunyai model yang begitu unik yang patut dicontohi Barat.
“Kita dapati ramai pemimpin Barat yang bersikap rasis, walaupun mereka nampaknya begitu demokratik tetapi perkauman di sana seakan biasa kepada mereka,” katanya ketika merasmikan forum Bahasa Jiwa Bangsa di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini malam ini. – UTUSAN ONLINE










