KUALA NERUS 21 Nov. – Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini terus menaikkan nama negeri di peringkat dunia apabila mencapai kejayaan dalam Pertunjukan Reka Cipta Antarabangsa (International Invention Show-INOVA) Ke 43 di Zagreb Fair, Croatia baru-baru ini.
Mereka membawa pulang lima anugerah termasuk Anugerah Utama Rekacipta Terbaik Asia (Best Invention Of Asia) untuk produk P’ Amary, dua pingat emas untuk produk P’ Amary dan Smart Eazer di samping Anugerah Istimewa daripada World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) dan JSC NIIAS, Russian Railways.
Pasukan sekolah yang dibiayai kerajaan negeri itu diwakili tiga pelajar iaitu Ahmad Fakhrul Ismail, 16, Ahmad Aliuddin Zulkifli, 16, dan Wan Wadhihah Nadhirah Faisal, 13, bersama dua guru pengiring, Saripah Embong dan Zawiah Dollah.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyambut kepulangan rombongan sekolah tersebut di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Maliaman Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri, Safruddin Ali Hussin.
Tengku Hassan berkata, pencapaian SMAAZA amat membanggakan kerajaan negeri yang memperlihatkan bukan sahaja sekolah di negeri ini mampu bersaing di peringkat dunia tetapi menjadi suatu motivasi untuk kejayaan lebih meluas.
“Tahniah atas pencapaian cemerlang warga SMAASZA mengatasi sekolah hebat dari seluruh dunia.
“Mereka berusaha mencabar diri dalam persaingan dan hasrat menyertai pertandingan INOVA ini menjadi kenyataan apabila Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri meluluskan peruntukan khas,” katanya.
Sementara itu, berhubung dua produk dipertandingkan itu, P’Amary merupakan produk kesihatan berasaskan minyak sawit untuk merawat penyakit kulit, antibakteria, kulat dan penghalau serangga manakala Smart Eazer pula merupakan produk pencuci, boleh digunakan untuk mencuci pakaian dan sebagainya.











