WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjanji semalam untuk kekal bersama sekutunya, Arab Saudi walaupun tidak menolak kemungkinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) ialah dalang di sebalik pembunuhan kejam wartawan, Jamal Khashoggi.
“Mungkin jelas bahawa putera mahkota itu tahu berkenaan insiden tragis ini. Mungkin beliaulah yang mengarahkannya atau mungkin juga tidak!” kata Trump dalam satu kenyataan.
“Kita mungkin tidak akan tahu kesemua fakta mengenai pembunuhan Jamal Khashoggi. Walau apa pun, kami tetap bersama kerajaan Arab Saudi. AS akan terus menjadi sahabat (Riyadh),” tambahnya.
Pembunuhan kejam Jamal amat memalukan Washington. Bekas wartawan Arab Saudi yang hidup dalam buangan di AS itu hilang selepas mengunjungi konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.
Pembunuhan itu menjejaskan kempen diterajui oleh MBS untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Arab Saudi mengorak langkah ke arah pembaharuan.
Ia juga mempersoalkan strategi White House yang mahu menjadikan MBS sebagai rakan kongsi utamanya di rantau Asia Barat.
Trump sejak beberapa minggu lalu enggan menerima bukti penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam pembunuhan Jamal dan dakwaan bahawa pembunuhan itu diarahkan oleh MBS.
Bagaimanapun, susulan laporan akhbar New York Times bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) merumuskan bahawa MBS terlibat, tumpuan kini beralih kepada sama ada Trump akan menghukum sekutunya itu atau mencari cara untuk menutup mata.
Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh pejabat akhbar White House, Trump memilih untuk berdiam diri dengan alasan bahawa hubungan AS-Arab Saudi adalah lebih penting berbanding kemungkinan penglibatan MBS dalam jenayah tersebut.
Terdahulu, Riyadh menafikan sekeras-kerasnya penglibatan putera mahkota berkenaan dalam pembunuhan Jamal Khashoggi. – AFP











