KUALA LUMPUR 21 Nov. – Gabungan Persatuan Pen- jaja dan Peniaga Kecil Malaysia (G3PM) mendesak golongan peniaga menghentikan bantahan terhadap pembinaan pusat penyembelihan ayam halal berhampiran Pasar Harian Selayang di sini.
Pengerusi G3PM, Datuk Seri Rosli Sulaiman mendakwa, projek itu sepatutnya disokong kerana kemampuan untuk menguruskan penyembelihan secara sistematik dalam persekitaran yang bersih dan tidak menyebabkan pencemaran.
Katanya, usaha itu juga dapat mengurangkan keraguan orang ramai mengenai status halal kira-kira 80,000 ayam yang dibekalkan di sekitar ibu negara kerana masih banyak pusat penyembelihan yang tidak dikendalikan tanpa mematuhi piawaian.
“Secara amnya, projek pusat penyembelihan ayam halal itu bakal memberi impak positif kepada seluruh warga Lembah Klang dengan kapasiti pembekalan antara 80,000 hingga 120,000 ekor ayam kepada pengguna setiap hari.
“Setiap pemprosesan dan penyembelihan ayam akan dipantau rapi dan dikawal ketat oleh Jabatan Agama Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengarah Sahih Group Sdn. Bhd., Ahmad Jefri Mohd Meidin.
Menurut Rosli, peruntukan sebanyak RM7 juta dibiayai pemaju bagi melengkapkan projek tersebut dengan sistem loji rawatan air moden dan sisa buangan pepejal setaraf dengan piawaian negara maju di Asia dan Eropah.
“Kaedah advance bio-security akan memastikan bekalan ayam dari ladang bebas daripada sebarang wabak penyakit bermula dari awal operasi sehingga proses pelupusan sisa.
“Projek ini juga dapat mengatasi masalah pencemaran di kawasan pasar yang teruk berlaku sekarang.
“Penelitian selama lebih lapan tahun dilakukan oleh Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, konsultan antarabangsa dan pihak pemaju untuk menyelesaikan isu di sekitar pasar harian itu,” katanya.
Justeru katanya, menjadi satu kerugian kepada warga kota sekiranya projek ini gagal dilaksanakan.
Sementara itu, Ahmad Jefri pula berkata, pembangunan projek itu berpotensi memajukan kawasan itu sebagai hab agro melalui penambah baikan yang dilakukan secara berterusan.
“Pembangunan projek ini akan memberi pulangan ekonomi dan nilai hartanah. Kami berharap pihak kerajaan tidak berganjak daripada keputusan asal untuk memastikan projek ini dilaksana demi kebaikan semua pihak,” katanya.











