KUALA LUMPUR 21 Nov. – Buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun, Terminal Kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, Perlis berjaya mengendalikan 13,058 TEU (unit bersamaan 6.1 meter) kargo pada bulan Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, jumlah bulanan tertinggi yang direkodkan itu adalah hasil penambahbaikan berterusan dan pemantauan ketat dalam operasi kargo oleh KTM Kargo dan Multimodal Freight Sdn. Bhd. (MMF).
“Pelabuhan Pulau Pinang menyediakan pilihan yang lebih baik kepada selatan Thailand untuk mengeksport barangan mereka dan sebagai balasannya, ini telah memberi manfaat kepada KTM Kargo dengan menyediakan pautan kereta api untuk pergerakan dari selatan Thailand melalui Terminal Kargo Padang Besar.
“Jumlah kargo yang semakin meningkat di terminal kini juga telah membantu keseluruhan proses penghantaran di pelabuhan seluruh Malaysia. Dengan rekod pengendalian sebanyak 13,058 TEU, ia adalah 31 peratus lebih tinggi daripada pengendalian biasa sebanyak 10,000 TEU,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











