KUALA LUMPUR 21 Nov. – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berjanji akan melengkapkan penyerahan lima trofi baru yang menggantikan ‘kasut Cinderella’ kepada semua pemenang terlibat pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dalam tempoh seminggu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, penjaring terbanyak Liga Perdana bagi pemain tempatan, Bobby Gonzales dari pasukan Sarawak merupakan individu pertama yang menerima trofi terbaru itu.
“Kalau kita tengok dalam media sosial hari ini, Bobby sudah terima trofi dia. Dia penerima kasut pertama, saya sendiri yang menghantar kasut itu di Kota Kinabalu.
“Jadi, dalam hari berikutnya, semua pemenang akan menerima trofi masing-masing. Saya sedang merancang untuk menghantarnya sendiri.
“Dalam tempoh seminggu semua akan terima trofi baru ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, ABK 2018 dihujani kritikan terhadap trofi but kerana dilihat tidak sesuai kepada semua pemenang ekoran terlalu kecil sehingga digelar miniatur kasut Cinderella, pengasah pensel dan rantai kunci (keychain), sekali gus memaksa MFL menggantikannya dengan yang baru.
Selain Bobby, empat lagi trofi baharu yang akan diserahkan adalah pemenang Kasut Emas dan Penjaring Terbanyak Liga Super (Import), Rufino Segovia dari Selangor; Penjaring Terbanyak Liga Super (Tempatan), Shafiq Shaharudin (Kelantan) dan Penjaring Terbanyak Liga Perdana (Import), Casagrande (Felcra FC).
Sementara itu, penyerang berusia 34 tahun, Bobby, mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana sanggup datang ke Kota Kinabalu semata-mata mahu menyerahkan sendiri trofi baru tersebut kepadanya.- UTUSAN ONLINE











