Malaysia minta Thailand main peranan dalam isu Myanmar - Utusan Malaysia

Malaysia minta Thailand main peranan dalam isu Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 21 Nov. – Thailand yang akan mengambilalih kerusi Pengerusi ASEAN tahun depan diminta memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah berkaitan etnik Rohingya di Myanmar.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Malaysia meminta Thailand dan negara ASEAN lain untuk membantu Myanmar mencari jalan mengambil balik rakyatnya daripada etnik Rohingya yang kini berada di luar negara, terutamanya di Malaysia.

“Kita tidak boleh mengatakan masalah Rohingya ini adalah satu isu domestik (kepada Myanmar) kerana ia membebankan Malaysia, ” katanya kepada Bernama hari ini selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-chan di Rumah Kerajaan.

Mohamad yang sedang dalam rangka lawatan ulungnya ke Thailand selepas dilantik ke jawatan itu enam bulan lepas turut melakukan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwon.


Beliau tiba di Bangkok semalam dan akan pulang ke Malaysia malam ini.

Menteri Pertahanan berkata, isu Rohingya bukan masalah domestik Myanmar sahaja kerana kesannya turut dirasai oleh Malaysia yang kini menampung kira-kira 100,000 etnik Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di negara mereka.

“Kita minta kerjasama Thailand yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan supaya dapat memainkan peranan secara diplomatik untuk menyelesaikan masalah Myanmar,” katanya.

Thailand akan menjadi Pengerusi ASEAN selama setahun bermula 1 Jan depan.

Mohamad juga berkata, pertemuannya dengan Prayut dan Prawit turut menyentuh tentang perkembangan proses mencari kedamaian di selatan Thailand, di mana Malaysia merupakan fasilitator kepada usaha damai di wilayah terbabit.


Katanya, Malaysia berharap penyelesaian dapat dicapai dalam jangka masa terdekat walaupun tidak menetapkan sebarang tempoh tertentu.


”Kita berharap penyelesaian dalam jangkamasa terdekat. Kita mahukan pihak-pihak bertelagah (di selatan Thai) dapat mencari penyelesaian bersama,” katanya dan menambah, kedamaian di selatan Thai akan membantu proses pemulihan ekonomi di wilayah terbabit.

Beliau berkata, jika seseorang daripada Hatyai mahu ke Narathiwat mereka terpaksa menempuh sekurang-kurangnya 15 sekatan jalan raya oleh pihak keselamatan Thailand.

“Bagi orang awam dan pelancong asing, ia (sekatan jalan raya) menakutkan,” katanya.

Mohamad juga berkata, beliau turut berbincang dengan pucuk pimpinan Thailand tentang usaha untuk melicinkan lagi perjalanan di pintu masuk sempadan kedua-dua negara.

Beliau memberi contoh bagaimana masyarakat di kawasan sempadan terutamanya di Bukit Kayu Hitam terpaksa menghabiskan antara lima hingga enam jam hanya untuk keluar atau memasuki pintu sempadan.

Beliau berharap jawatankuasa teknikal kedua-dua negara dapat menyelesaikan masalah terbabit, yang bukan sahaja berlaku di Bukit Kayu Hitam, tetapi juga di pintu masuk lain termasuk Takbai-Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang-Sungai Golok. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×