KUALA LUMPUR – Identiti lima lelaki yang ditembak mati dalam kejadian samun di kedai emas NexiGold and Jewellery di Pasaraya NSK, Kuchai Lama di sini semalam akan dikenal pasti esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, keputusan akan diketahui melalui kaedah pengecaman cap jari.
“Apabila kita dah dapat keputusan tersebut, barulah identiti boleh diketahui dan samada mereka mempunyai rekod jenayah lampau atau tidak.
“Salah seorang suspek yang ditahan pula beralamat di Teluk Panglima Garang, Selangor dan merupakan bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 di Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di pusat beli belah Wangsa Walk di sini hari ini.
Mazlan menambah, bagi kereta jenis Mercedes yang digunakan oleh kumpulan tersebut, ia merupakan kereta yang dicuri di Bandar Kinrara, Puchong pada tahun lalu.
“Kereta itu menggunakan nombor plat palsu dan digunakan sebagai persediaan untuk mereka melarikan diri daripada pasaraya tersebut.
“Bagi kereta jenis Perodua Myvi pula, ia disewa daripada sebuah syarikat pelancongan dan kita sedang menyiasat kereta tersebut disewa menggunakan nama siapa,” ujarnya.
Suspek yang ditahan itu direman selama empat hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – K! ONLINE











