PUTRAJAYA 21 Nov. – Kajian terperinci sedang dibuat terhadap cadangan pemisahan fungsi pendakwa raya daripada peguam negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata pelaksanaan cadangan itu bagaimanapun perlu ditangguhkan buat masa ini memandangkan ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Waktu ini kita belum mempunyai jumlah yang cukup dua pertiga dalam Dewan Rakyat untuk menentukan pindaan ini dapat diluluskan, sebab itu perkara ini ditangguhkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.
Menurut laporan yang memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin sebelum ini, pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selain semakan semula undang-undang berkaitan kuasa pendakwa raya dan peguam negara yang diperuntukkan menurut Kanun Tatacara Jenayah serta Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
Dr Mahathir dalam pada itu berkata cadangan menambah baik dasar penglibatan politik dalam kalangan penjawat awam turut ditangguhkan sementara waktu berikutan kajian terperinci mengenainya perlu dibuat .
“Kita masih belum dapat menentukan apakah ada pegawai yang boleh dibenar terlibat dalam politik,” katanya. – BERNAMA











