LZNK cadang perluas bantuan persekolahan kepada pelajar menengah - Utusan Malaysia

LZNK cadang perluas bantuan persekolahan kepada pelajar menengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Nov. – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bercadang untuk memperluaskan bantuan pakaian seragam sekolah kepada pelajar asnaf di sekolah menengah dalam usaha membantu meringankan beban golongan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata ini kerana setakat ini bantuan itu hanya disalurkan kepada murid miskin di 407 sekolah rendah seluruh negeri.

“Kita juga nak beri pelajar sekolah menengah kerana mereka juga tergolong dalam asnaf kita dan tidak bernasib baik, namun keputusan itu bergantung kepada hasil jumlah kutipan kita dan saya harap kutipan kita akan terus meningkat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Syeikh Zakaria berkata lebih RM1 juta diperuntukkan lembaga zakat itu untuk membantu 40,000 pelajar sekolah rendah sebagai mempersiapkan diri mereka memasuki sesi persekolahan baharu tahun depan.

“Setakat ini kita hampir selesai agihkan bantuan di 12 daerah dan kita jangkakan dapat selesaikan sebelum sekolah dibuka tahun depan,” katanya yang menambah, setiap pelajar akan menerima dua pasang pakaian seragam sekolah dan beg.


Beliau berkata pakaian seragam sekolah itu adalah berkualiti dengan dijahit oleh 18 tenaga mahir terdiri daripada asnaf fakir miskin dan ibu tunggal di dua Pusat Kemahiran Jahitan LZNK di sini dan Kuala Muda dekat Sungai Petani.

Dalam pada itu, katanya sejak Januari hingga 20 Nov ini, jumlah zakat meningkat kepada RM145,767,236 berbanding RM141,287,550 bagi tempoh sama tahun lepas.- BERNAMA

 

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×