IPOH 21 Nov. – Seorang lelaki berusia 68 tahun ditemukan mati berdekatan ladang kelapa sawit di Kampung Jaya Setia, Sungai Siput hari ini setelah menangkap ayam hutan bersama dua rakannya pagi semalam.
Jurucakap bomba berkata, mayat lelaki tersebut ditemukan pada pukul 1 petang.
Menurutnya, mangsa bersama dua rakannya keluar menangkap ayam hutan di kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan pada pukul 9 pagi semalam dan sepatutnya keluar pada pukul 1 petang semalam.
“Namun mangsa tidak keluar dari hutan dan dua rakannya melakukan pencarian. Setelah mangsa gagal ditemukan, dua rakannya itu membuat laporan polis
“Operasi mencari dijalankan sejak semalam namun ditangguhkan kerana terdapat binatang buas di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Menurutnya, operasi disambung pagi ini bersama beberapa agensi dan mangsa ditemukan oleh orang kampung pada pukul 1 petang.
“Mayat mangsa dikeluarkan dari kawasan ladang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











