KUALA TERENGGANU 21 Nov. – Terengganu yakin sekurang-kurangnya dapat mengekalkan pencapaian lalu dalam Para Sukan Malaysia (Para Sukma) ke- 19 yang bermula hari ini sehingga 28 November di Perak.
Melalui 78 atletnya, pasukan negeri sekali lagi mensasarkan kutipan 28 pingat emas bagi mengulangi pencapaian di Sarawak dua tahun lalu yang meletakkannya di tangga ketiga namun tidak menolak kemungkinan mampu membawa kejutan.
Kontinjen yang turut disertai 51 pegawai terdiri daripada jurulatih dan pengiring berlepas semalam setelah penyerahan bendera kontinjen di Kompleks Belia dan Sukan, di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurut Wan Sukairi, dalam temasya kali ini terdapat peraturan baharu di mana had umur atlet tidak melebihi 45 tahun menyebabkan beberapa atlet kita yang berbakat tidak dapat bermain,dan ini menjejaskan peluang.
“Bagaimanapun, kita meletakkan sasaran mengekalkan tempat ketiga sebagaimana yang diperoleh semasa Para Sukma di Sarawak dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Lubuk emas Terengganu ialah melalui sukan ping pong dengan sasaran 12 emas daripadanya namun kata, peluang bagi sukan lain tetap sama jika semua atlet terus gigih, memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan bendera Terengganu dijulang di podium. – UTUSAN ONLINE











