Siasatan individu maki jurujual arak diteruskan - Utusan Malaysia

Siasatan individu maki jurujual arak diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Polis tetap meneruskan siasatan terhadap lelaki yang bertindak mengganggu jurujual arak di sebuah pasar raya di Ampang, di sini meskipun individu tersebut sudah memuat naik video permohonan maaf atas perbuatannya hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Kita menerima banyak laporan polis terhadap lelaki tersebut dan akan memanggil dia untuk memberi keterangan esok.

“Selepas itu baru kita serahkan kertas siasatan kepada DPP untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan.

Isnin lalu, sebuah video tular di laman sosial memaparkan seorang individu yang dikenali sebagai Edi Rejang mengganggu seorang gadis jurujual minuman beralkohol di bahagian tidak halal di sebuah pasar raya.

Sikap lelaki berkenaan yang memaki dan menunjukkan isyarat lucah terhadap gadis tersebut turut dianggap warganet sebagai kurang ajar dan tidak wajar.

Dalam video kurang 45 saat itu, gadis berkenaan yang melakukan promosi air minuman beralkohol di bahagian tidak ditanggung halal kelihatan tenang berhadapan dengan provokasi yang dilakukan lelaki tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×