Tun Dr. Mahathir perlu jelaskan secara terperinci - Utusan Malaysia

Tun Dr. Mahathir perlu jelaskan secara terperinci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menjelaskan secara terperinci mengenai pendedahannya semalam berhubung cubaan pemimpin UMNO dan Pas untuk menarik ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam daripada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang enggan mengulas mengenai pendedahan tersebut berkata, pihak media perlu bertanya lanjut mengenai isu tersebut kepada Perdana Menteri.

“Tanya beliau (Dr Mahathir), tanya beliau, tanya beliau,” katanya berulang kali kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH mendedahkan terdapat cubaan ‘di sebalik tirai’ beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula tidak menafikan mengenai cubaan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai perkara biasa untuk mana-mana pilihan raya.

Katanya, usaha untuk mewujudkan pakatan itu bukan hanya berlaku di peringkat Barisan Nasional (BN) malah turut terjadi dalam kalangan ahli-ahli Parlimen PH di Sabah, Perak dan Johor.

“Tapi semua itu telah berlalu saya tidak pasti kenapa Perdana Menteri ingin membangkitkan isu tersebut, beliau perlu menjelaskan sebab atau alasannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, tiada sebarang perbincangan di peringkat kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk membeli mana-mana ahli Parlimen pada malam 9 Mei lalu.

Jelas beliau, jika terdapat sebarang cubaan atau perbincangan mengenai perkara tersebut ia haruslah mendapat restu daripada kepemimpinan tertinggi parti.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri kerana pada malam tersebut saya bersama dengan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN, sangat jelas tiada usaha untuk membeli ahli Parlimen atau rancangan menimbulkan kekecohan dan rusuhan, langsung tiada,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×