KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen kembali kecoh apabila wakil rakyat pembangkang melaungkan rasis kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berhubung pendiriannya mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Kekecohan itu berlaku ketika Waytha Moorthy memberikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019, beliau beberapa kali ‘diasak’ oleh ahli Parlimen pembangkang yang bangun mencelah untuk meminta penjelasan kukuh berhubung isu ICERD sebelum dicelah oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas).
Reezal mendakwa beliau memberi kenyataan yang mengelirukan bahawa ratifikasi ICERD Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai tempoh masa tertentu.
Bagaimanapun, Waytha Moorthy menafikannya dengan memberitahu tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.
“Memang jelas apa yang saya cakap dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan saya tidak sebut pun ada jangka masa, saya kata tidak ada jangka masa,” jelasnya yang menyebabkan Reezal tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut dan mengulangi tuduhannya menyatakan kenyataan menteri itu mengelirukan Dewan Rakyat.
Pertikaian berlanjutan apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menyerang Waythamoorthy dengan mengaitkan isu penyebaran video tular berhubung kenyataannya sebelum ini yang mendakwa kerajaan ketika itu mendiskriminasi masyarakat India seperti tersebar di media sosial ketika cuba menjelaskan pendirian kerajaan mengenai ICERD.
“Masalahnya menteri tak layak (bercakap) dalam cakap lain, luar cakap lain,” katanya sambil disokong oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











