Cadangan bina hotel di Bukit Bendera - Utusan Malaysia

Cadangan bina hotel di Bukit Bendera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 19 Nov. – Cadangan pembinaan dua hotel di Bukit Bendera oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih di peringkat rancangan awal.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, cadangan pembinaan hotel dengan 200 bilik berhampiran banglo Convalescent itu pernah dicadangkan sebelum ini dan akan dikaji dengan te­liti.

Menurut kenyataan itu, reka bentuk sebenar hotel itu akan disediakan oleh pembida melalui proses cadangan permohonan (request for proposal).

Katanya, cadangan itu ren­tetan daripada permintaan tinggi daripada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menginap di Bukit Bendera.

“Pelancong berkenaan berhasrat menginap di puncak bukit itu bagi menjelajah dan menikmati keindahan alam di sekitar Bukit Bendera.

“Bagi memenuhi permintaan yang tinggi itu, kerajaan negeri mengarahkan PBBPP mengkaji dan membaik pulih semula beberapa aset lama kerajaan di Bukit Bendera.

“Antaranya membaik pulih banglo Convalescent dan membina semula bangunan usang yang pernah dijadikan tempat tinggal pekerja di sepanjang Coolie Line,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut PBBPP, usaha membaik pulih banglo dan bangunan lama itu membolehkan pihak­nya menyediakan lebih banyak pilihan penginapan untuk pe­ngunjung di puncak bukit tersebut sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Bukit Bendera.

Katanya, PBBPP juga akan memulakan RFP bagi pemba­ngunan Convalescent dan Coolie Line dalam beberapa bulan akan datang dan pihak berminat dialu-alukan mengemukakan cada­ngan mereka apabila proses itu bermula.

“PBBPP komited memelihara Bukit Bendera untuk generasi akan datang dan segala pembangunan di puncak bukit itu akan mengikut Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2016 dan Rancangan Tempatan Bukit Bendera 1998,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×